Wednesday, 5 September 2018

RM100 Juta Diperlukan Untuk Pengairan Empangan Paya Peda

SHARE
Dr Azman Ibrahim berucap dalam majlis tersebut. Foto - Harish Fadzillah
KUALA TERENGGANU - Peruntukan RM100 juta diperlukan untuk projek  pengairan Empangan Paya Peda di Hulu Angga, Jerteh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan tersebut untuk pembinaan tali air utama sepanjang  30 kilometer.

Katanya, penambahbaikan tali air sedia ada sepanjang 10 kilometer supaya air yang dikumpulkan di Empangan Paya Peda dapat dialirkan untuk membekalkan pengairan ke kawasan padi.


"Kawasan padi di Terengganu 80 peratus keluasannya berada di Besut dan Setiu dengan kawasan yang berada di bawah rancangan  pengairan air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Ketara seluas lima ribu hektar adalah penyumbang utama pengeluaran padi  di negeri ini.

“Rancangan Ketara fasa dua dengan tambahan kira-kira  lima ribu hektar kawasan padi untuk menjadikan 10 ribu hektar keluasan keseluruhannya telah berada dalam maklumat.

“Empangan Paya Peda yang dibina dengan kos RM450 juta yang dikira mempunyai kemampuan  untuk membekalkan pengairan kepada 10 ribu hektar kawasan penanaman padi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Kunjungan Delegasi Menteri Pertanian di Tingkat 18, Wisma Darul Iman pada Ahad, 2 September.


Katanya, walaupun pembaikian Projek Low Weir Pengkalan Nangka telah siap yang menelan kos RM34 juta, namun  masih belum mampu mengairi kira-kira 1,000 ekar ke kawasan penanaman padi.

Tambahnya, kawasan penanaman padi di Pengkalan Nangka memerlukan RM20 juta untuk menaik taraf tali air utama.

“Kawasan penanaman padi Pengkalan Nangka sudah terbiar tidak diusahakan sejak lebih enam tahun lalu ekoran daripada kerosakan Empangan Low Weir Pengkalan Nangka.

 “Kita amat berharap supaya projek ini dapat diteruskan dengan secepat mungkin supaya kira- kira 1,000 ekar kawasan penanaman padi Pengkalan Nangka dapat diusahakan semula,” jelasnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: