Saturday, 29 September 2018

Rapatkan Jurang Seni Dan Agama

SHARE
Sabri Yunus.
Oleh: Nasir Abdullah

KUALA TERENGGANU - Seni dan agama diharap akan dapat disatukan hasil dari kefahaman bersama antara penggiat seni dan ulamak di Malaysia, kata pelakon dan pengarah drama terkenal tanah air, Sabri Yunus.

Beliau yakin kedua-dua ini menjadi kontra kerana salah faham dan tidak berjaya diperjelaskan kepada umum disebabkan kegagalan mencari kesepakatan dalam definisi seni itu sendiri.

"Apa yang berlaku hari ini, saya harap ada titik pertemuan yang sangat bagus antara seniman, budayawan dengan agamawan, untuk melihat sejauh mana benda ini ada penyatuan yang baik.

"Kerana fitrah kita sebagai manusia juga memerlukan hiburan, memerlukan kesenian dan sebagai bangsa yang kuat jati diri, harus ada nilai budaya mereka sendiri.

"Bayangkan jika bangsa itu tiada budayanya sendiri, apakah akan jadi kepada jati diri bangsa itu sendiri," tegasnya.

Sabri ditemui sebelum program Santai Anak Tranung yang menjemput beliau bersama penceramah tersohor, Ustaz Azhar Idrus, Hotel Primula, 28 September.

Program soal jawab agama itu antara acara menarik dalam Karnival Pantai anjuran Kerajaan Terengganu bermula 27 September hingga 29 September bertempat di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Seni menurut beliau lagi turut ditunjukkan dalam agama dan banyak contoh yang nyata yang boleh diperhatikan oleh semua pihak untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

Tambah beliau lagi, ramai ulamak yang meminati atau menguasai bidang seni dengan menjadikan penyampaian mereka lebih diminati dan menarik.

"Al-Quran itu sendiri adalah seni yang sangat indah yang boleh diperhatikan apabila seseorang itu memahami maksud sebenar seni itu kerana ianya sangat luas.

"Al-Quran juga adalah seni sastera sebab ia banyak bercerita, banyak cerita dalam cerita ini dinamakan sebagai seni sastera.

Malah katanya, dalam al-Quran juga banyak cerita-cerita, bukan sahaja hukum hakam, jadi Allah SWT sudah meletak seni sastera di dalamnya.

"Kita ada seni suara, tarannum dan sebagainya untuk bacaan kita.

Perkembangan duniapun penuh dengan seni, apa yang tidak ada terlibat dengan seni," terang beliau yang juga dikenali sebagai Pok Ya Con Codei sebagai menjelaskan maksud seni.

Kata beliau lagi, perubahan terhadap seni dari semasa ke semasa memberikan pandangan berbeza terhadap seni, sekali gus berharap pihak kerajaan dan agamawan dapat melihat sejarah seni itu sendiri sebelum membuat justifikasi.

Mengenai persembahan yang dianggap khurafat seperti memuja makhluk lain, beliau bersetuju agar elemen-elemen seperti itu dihapuskan jika ia benar disahkan berlawanan dengan akidah.

Beliau yang turut terkenal dengan watak Wan Ismail Golok dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sekitar 90-an dahulu menganggap golongan yang gagal melihat sesuatu perkara dengan seni dalam hidup mereka sebagai golongan yang malang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: