Tuesday, 11 September 2018

Politik Kasih Sayang Bawa Negeri Maju, Berkat Dan Sejahtera

SHARE
Orang ramai mengambil peluang bersalaman dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail

Oleh: Khairul Azlam

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar beriltizam, ingin menerapkan dalam pentadbiran negeri ini dengan sikap amanah, adil, telus dan bertanggungjawab.

Katanya, sikap amanah, adil, telus dan bertanggungjawab itu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika menjadi pemimpin negara.

“Dalam konteks hari ini, corak pemerintahan seperti inilah yang ingin diterapkan dalam pentabiran negeri Terengganu dan dijadikan panduan dalam membangunkan dan memajukan negeri ini.

“Tema Maal Hijrah 1440H pada tahun 2018 ini, ‘Menyantuni Umat, Membawa Rahmat’ begitu tepat sekali.

“Jika dihayati, ia membawa mesej supaya masyarakat perlu sentiasa saling menghormati antara satu sama lain, mengelakkan permusuhan dan pertelingkahan, saling bersatu padu walaupun berlainan agama, kaum, ideologi dan fahaman politik,” ujarnya dalam satu kenyataan perutusan sempena majlis sambutan Hari Maal Hijrah 1440H.

Dr Ahmad Samsuri sedang berucap pada Majlis Ambang Maal Hijrah 1440H di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Beliau turut merasmikan Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, pada 10 September lalu.

Dr Ahmad Samsuri menegaskan, teras kepada penyatuan dan perpaduan umat di Madinah ketika itu adalah kasih sayang yang didasari oleh Islam, di mana semua pihak mendapat keistimewaan. 

Dalam erti kata lain, menurutnya penduduk bukan Islam turut diberikan hak pengiktirafan sebagai rakyat.

“Kesannya, kepimpinan Rasulullah SAW telah melahirkan kesatuan dan perpaduan kepelbagaian kaum dan agama di Madinah ketika itu.

“Dalam situasi hari ini, perbezaan itu tidak menghalang kita (Terengganu) untuk memupuk nilai kasih sayang demi keharmonian dan kesejahteraan.

“Menjadi cita-cita seluruh rakyat untuk melihat negeri Terengganu melangkah ke satu tahap yang lebih baik melalui penghayatan hijrah sebenar bagi mencapai negeri yang diimpikan bermatlamatkan maju, berkat dan sejahtera,” jelasnya di hadapan 2,000 hadiri.

Sebelum itu, solat sunat hajat dibimbing oleh Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz.

Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz membimbing bacaan Ya’asin dan solat hajat sempena Sambutan Ambang Maal Hijrah 1440H di Masjid Wakap Membesu, Kuala Nerus.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato’ A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta ramai lagi.






SHARE

Author: verified_user

0 komen: