Sunday, 23 September 2018

PMR Bukit Besi Tepat Pada Masa

SHARE
Wan Hassan Mohd Ramli (dua dari kiri) dan Haji Ghazali Sulaiman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima E-Kasih. 
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Program Membantu Rakyat (PMR) adalah satu insiatif dari kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang berada di dalam senarai e-Kasih.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menyifatkan program yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi itu tepat pada masanya dalam keadaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, program ini dilihat sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

"Dengan perubahan kerajaan yang ada, kita masih dapat meneruskan sumbangan secara berkala kepada penerima E-Kasih," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Membantu Rakyat (PMR) di Balairaya Besol, Dungun, semalam (22 September).

Menurutnya, PMR ini membantu penduduk di sini kerana ramai di antara mereka bergantung kepada hasil pertanian.

"Apabila berlaku musim tengkujuh atau banjir yang memyebabkan hasil terjejas, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat membantu mereka memperoleh bekalan asas," tambahnya.

Sehubungan itu, Pegawai  Penyelaras DUN Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman menyifatkan program itu adalah salah satu langkah kecaknaan kerajaan membantu masyarakat.

"Kerajaan Negeri Terengganu ternyata tidak meminggirkan golongan yang mendapat bantuan E-Kasih.

"Kita akan sentiasa menambah baik cara pengagihan supaya pelaksanaannya adil dan tiada yang ketinggalan," jelasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (i-MiTS) DUN Bukit Besi kerana sentiasa komited mengatur dan mengadakan program bersama masyarakat.

Seramai 51 orang penerima E-kasih telah menerima bantuan dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Penyelia i-MiTS DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik, Penolong Penyelia i-MiTS, Zakiah Alias, wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Besol dan MPKK Bukit Besi.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: