Tuesday, 25 September 2018

Persiapan Musim Tengkujuh ; Usahasama Terengganu Dan Kelantan

SHARE
Latihan hadapi banjir akan diadakan bersama diantara kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan - Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah 

HULU TERENGGANU – Satu jawatankuasa menghadapi bencana musim tengkujuh tahun ini  telah ditubuhkan dan akan menjalani latihan usahasama di antara negeri Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia akan merumuskan satu kaedah yang paling efektif dalam menangani isu berkaitan banjir di ke dua-dua buah negeri.

“Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini kita telah pun mendapat taklimat daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana yang telah pun beri taklimat kepada semua ahli-ahli majlis mesyuarat.

“Dan ahli-ahli yang berhormat daripada semua kawasan termasuk daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem Jati Diri Persatuan Orang Cacat Penglihatan di Kem Bukit Kolam, Kuala Berang semalam, Isnin, 24 September.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam berkata, kerajaan negeri telah pun membuat dan mempertingkat persiapan dari semasa ke semasa untuk membuat penambahbaikan berdasarkan pengalaman yang lepas.

“Di pihak NGO pula  kita insya Allah akan mengumpulkan seberapa ramai  sukarelawan bagi  membantu mana-mana tempat yang berhadapan dengan bencana  ataupun ujian banjir, ribut  dan sebagainya lagi,” ujarnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menyatakan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut bermula pada bulan November sehingga Mac pada setiap tahun.

Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang seringkali  mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan cenderung banjir.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: