Sunday, 30 September 2018

Persiapan Kemaman Hadapi Banjir

SHARE
Sebahagian dari bangunan pentadbiran dan penempatan DITC Pupuk Semangat di Teluk Kalong, Kemaman.

KEMAMAN - Daerah Kemaman sedang mempersiap-siaga menghadapi bencana banjir dengan menjadikan 22 unt rumah di Darul Iman Training Center (DITC) Pupuk Semangat Teluk Kalong, sebagai pusat penempatan mangsa banjirnya.

Pemangku Pegawai Daerah Kemaman, Johan Ibrahim…sedia jadikan DITC sebagai pusat penempatan banjir
Sehubungan itu, Pemangku Pegawai Daerah Kemaman, Johan Ibrahim berkata beberapa bangunan banglow dan rumah teres dijadikan penempatan mangsa banjir, demi keselesaan kepada semua mangsa yang dipindahkan.

Menurutnya, sebelum ini mangsa banjir ditempatkan di sebuah dewan besar pusat latihan DITC walaupun kurang selesa.

“Kita biasanya akan pindahkan penduduk (mangsa banjir) di dewan besar (DITC). Kita mencadang dengan CEO, kita nok tempatkan dia (mangsa) di bahagian belakang bangunan (banglow) yang lama itu. Sebab itu, kita buat lawatan hari ini untuk tengok kesesuaiannya.

“Sebab dalam dewan itu kurang selesa, dia buat khemah pula. Jadi dengan kemudahan paip air yang sedikit itu juga jadi kurang keselesaan.

“Kita ada 10 buah rumah banglow, 11 rumah Semi D dan satu lagi rumah (bekas) pengetua yang lama, yang staf (DITC) kita bersih dan baiki.

“Kita akan melihat kos pembaikian itu melalui penilaian juruteknik JKR (Jabatan Kerja Raya) negeri yang akan menilai kos-kos tersebut dan buat masa sekarang ini, kita tidak boleh putuskan (umum) lagi,” ujarnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Gotong Royong dan Kenduri DITC Pupuk Semangat, Teluk Kalong, Kijal, Kemaman pada 28 September lalu.
Namun, katanya persiapan bagi menghadapi bencana banjir berjalan lancar mengikut jadual.

“Kita cuba persiapkan untuk guna tahun ini, Insya’Allah. Kita (Kemaman) telah bersedia dan peringkat negeri (Terengganu) telah bermesyuarat beberapa hari lalu. Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu sudah bermesyuarat dan di peringkat daerah kena buat mesyuarat masing-masing.

“Pengkalan Hadapan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) telah menyusun dan akan menghantar bekalan makanan sebagai persiapan itu. Kita (Kemaman) ada 32 buah tempat Pengkalan Hadapan bagi seluruh daerah Kemaman,” jelasnya.

Speaker Dun Terengganu, Yahaya Ali…kerajaan negeri Terengganu dalam persiapan hadapi banjir
Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali turut mengesahkan, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan terbabit kini dalam persiapan menghadapi banjir.

Katanya, musim tengkujuh setiap hujung tahun selalu berlaku kejadian banjir yang tidak menentu di beberapa daerah.

“Di peringkat kerajaan negeri dengan penyelarasan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, sedang bergerak ke arah satu persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir, sebagaimana persiapan tahun-tahun sebelum daripada ini,” ujarnya ketika mewakili Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Mohd Shuhaimi Embong juga memaklumkan kapasiti mangsa banjir boleh dimuatkan di penempatan DITC itu seramai 700 orang.

“Saya kira-kira rumah banglow itu boleh muat dalam 500 orang, rumah Semi D itu dalam 200 orang lebih, lebih kurang 700 orang boleh duduk dalam kapasiti untuk penempatan mangsa-mangsa banjir di sini.

“Kita cuba elak dari guna dewan besar itu lagi kerana kurang selesa. Sebab, dengan rumah itu mereka lebih selesa dengan bilik air, tandas untuk yang berkeluarga,” ujarnya.

Menurutnya, hampir 100 orang lebih terlibat dengan gotong royong yang melibatkan sukarelawan pelajar TATI, Majlis Perbandaran Kemaman dan penduduk kampung sekitar ini.

“Kita tebang pokok-pokok lama, rumput yang panjang dan semak samun yang terbiar. Kita bersih dahulu dewan-dewan lama, stor dan sebagainya. Sebelum kita nilai balik untuk dibaik-pulih mana-mana yang rosak itu,” jelasnya.

Sebelum ini, daerah Kemaman mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan apabila persiapan menghadapi bencana itu yang terbaik di seluruh negara.

SHARE

Author: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: