Sunday, 9 September 2018

Peniaga Warga Emas Diacu Pisau, Rugi RM30 Ribu

SHARE
Fatimah Latih(Mangsa Samun)
DUNGUN - Seorang peniaga warga emas menghadapi detik mencemaskan selepas diacukan sebilah pisau di perutnya dalam satu kejadian samun di gerai miliknya di Persimpangan Santong, Bandar Paka, baru-baru ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Fatimah Latih, 63, atau lebih dikenali sebagai 'Mok Teh' kerugian hampir RM 30 ,000  setelah wang tunai , kereta dan barang kemas miliknya dan  anak saudaranya Hanisah Maeen, 36, dilarikan empat lelaki  Melayu ketika sedang berniaga.

Ketika kejadian, tiada pelanggan yang berada di gerainya dan dua orang daripada suspek telah datang menaiki motosikal pada awal paginya untuk membeli nasi dan kuih.

"Selepas itu, datang pula sebuah kereta jenis Proton Wira berhenti berhampiran gerainya sebelum empat lelaki termasuk dua orang suspek yang datang ke gerainya pada awal pagi meluru ke arahnya.

"Saya kenal salah seorang daripada mereka kerana selalu datang ke kedai saya untuk membeli makanan tapi saya tidak tahu namanya, dan salah seorang dari mereka mengacukan pisau ke perut saya dan suruh saya senyap sebelum kami berdua dipaksa melutut di atas lantai di belakang gerai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di gerainya, semalam.

Gerai jualan tempat berlakunya kejadian samun
Menurut Fatimah, salah seorang dari perompak kemudiannya bertanyakan sekiranya dia memakai barang kemas dan dia menyatakan bahawa tidak memakai sebarang barang kemas sebelum perompak tersebut merampas gelang tangan dari anak saudaranya itu.

"Perompak itu mengacah-acah pisau ke perut saya dan mengarahkan saya supaya tidak bising sekiranya tidak mahu ditikam sebelum menyelak tudung saya untuk mencari rantai emas.

"Kemudian mereka mengambil beg plastik yang mengandungi wang RM1000 hasil daripada jualan makanan sebelum melarikan sebuah kereta Perodua Viva berwarna hitam milik anak saudara saya dan melarikan diri ke arah Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS )," ujarnya lagi.

Menurut Fatimah, kejadian itu menyebabkan dia dan anak saudaranya menjadi trauma kerana ini merupakan kejadian yang pertama berlaku terhadap dirinya sepanjang 22 tahun berniaga di kawasan tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Pihaknya sedang melakukan gerakan mengesan keempat-empat suspek lelaki Melayu yang berusia lingkungan 30 hingga 50 an itu.

Menurut Baharudin, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kesemua suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 098482222.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: