Wednesday, 19 September 2018

Pelancongan Masjid Terus Diperkasa

SHARE
Norhana menyampaikan cenderamata kepada Ariffin di MajlisTaklimat Program Pelancongan Masjid Terengganu 2018 di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu. Foto Oleh:  Syaiful Mustafa 
KUALA TERENGGANU - Sektor pelancongan masjid di negeri ini akan terus diperkasa selari dengan usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pelancongan Islam dimata dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri akan berkolaborasi dengan Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu dan penggiat pelancongan yang lain untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi masjid.

“Setelah kita mengambil alih kerajaan, antara matlamat kita adalah untuk menjadikan negeri ini sebuah negeri pelancongan Islam dan antara yang akan diperkasakan adalah pelancongan masjid.

“Dalam waktu yang sama, usaha ini telah dilakukan oleh Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu sejak 2012, justeru kami sangat berbesar hati dan akan terus memberikan sokongan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Program Pelancongan Masjid Terengganu 2018 di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Malaysia (Wilayah Timur), Zaliha Zainuddin dan Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu, Norhana Ng Abdullah.

Katanya, terdapat lebih 500 buah masjid di negeri ini dan sebahagiannya berpotensi untuk diketengahkan kepada pelancong kerana memiliki keindahan dan keunikan seni bina serta nilai warisan sejarahnya yang tersendiri.

Sementara itu Norhana berkata, antara misi pihak persatuannya adalah untuk menjadikan masjid-masjid pelancongan negeri Terengganu sebagai destinasi utama pilihan pelancong dan seterusnya mewujudkan kesedaran tentang agama Islam kepada pelancong dengan mesra, informatif dan berhikmah.

Katanya, Masjid Abidin, Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), Kuala Ibai dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam adalah antara masjid yang kerap menerima kunjungan pelancong luar negara yang kebanyakkannya bukan beragama Islam.

“Banyak lagi masjid-masjid di Terengganu dimana kita boleh memperkenalkan program ini termasuk Masjid Ulul Albab, dan juga masjid dekat Pulau Perhentian,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: