Thursday, 20 September 2018

Muzium Bukit Besi Kini 90 Peratus Siap

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Muzium bersejarah Bukit Besi hampir 90 peratus siap dan akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi memulihara dan menjaga khazanah berharga di negeri ini

"Apabila muzium itu mula dibuka nanti, ianya berpotensi memberi impak positif kepada penduduk setempat.

"Bukit Besi sebagai Bandar Bersejarah sudah tentu akan dapat diterokai oleh orang awam apabila dibuka nanti," ucapnya.

Beliau Berkata ketika sesi lawatannya ke Muzium Bukit Besi, di sini, semalam.


Ghazali berkata, Bukit Besi cukup terkenal sebagai kawasan perlombongan bijih besi, satu ketika dahulu dan pernah menjadi bandar yang pesat membangun.

Tambahnya lagi, Muzium Bukit Besi yang hampir siap dibina itu akan ditempatkan pelbagai monumen dan bahan sejarah untuk memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai Bandar Bukit Besi.

"InsyaAllah, saya mendapat makluman bahawa kepala keretapi yang diletakkan di Muzium Negeri Terengganu akan dibawa pulang,

"Lebih menarik, muzium ini dibina di kawasan bersejarah, di mana disekitarnya terdapat bangunan-bangunan lama seperti bangunan memproses bijih besi dan sebagainya," jelas beliau.

Beliau juga berharap agar ianya akan menjadi daya tarikan baru kepada pengunjung yang bertandang ke Bukit Besi.

"Saya cadangkan agar pihak-pihak tertentu, bina rumah tumpangan dan juga chalet bagi membolehkan pengunjung dapat berehat disini lebih dari sehari, kerana dalam sehari mana mungkin sempat untuk menerokai kawasan-kawasan menarik di Bukit Besi ini," jelasnya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Besi, Ahmad Bahir Chik berkata pengalaman menerokai tempat bersejarah itu akan menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

"Bukit Besi ini dahulunya memang pesat membangun telah diusahakan oleh Jepun dan British.

"Pada masa itu mengikut apa yang saya tahu, masyarakat yang tinggal di sini pada masa itu adalah golongan elit dan kaya raya," katanya.

Menurutnya, semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak, Bukit Besi mula hilang peranannya dalam menjana ekonomi negara kerana pada era Tun Abdul Razak petroleum mula mencuri tumpuan sebagai penjanaan utama ekonomi negara.


"Saya mengharapkan agar apabila muzium ini disiapkan nanti ianya akan menjadi tumpuan utama kepada peminat sejarah untuk proses pembelajaran,

"Saya sendiri secara jujurnya tidak sabar melihat usaha ini berjaya dan akan menjadi tarikan utama," jelasnya.

Menurutnya lagi, Muzium itu nanti akan menjadi panduan untuk menjejaki sejarah kegemilangan Bukit Besi dan seterusnya menjelas dan menzahirkan peranan Bukit Besi sebagai Bandar Bersejarah.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: