Tuesday, 4 September 2018

MB Hadir Di Stadium Suntik Semangat TFC

SHARE
MB (depan, tiga dari kiri) bersama Ustaz Hishamuddin (empat dari kiri) menyaksikan perlawanan bolasepak antara TFC dan Perak di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu. -Foto Harish Fadzillah




KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Malaysia antara Skuad Terengganu FC (TFC) dan Perak bagi menyuntik semangat juang pasukan Penyu itu di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah, 2 September.
Turut hadir memberi semangat, Timbalan Pengerusi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyaksikan pertarungan sengit untuk mempastikan skuad Penyu layak ke separuh akhir bersama Perak.
Walaupun skuad TFC kecundang 1-2 kepada Perak namun kedua-dua pasukan berkungsi 10 mata dalam saingan Kumpulan A bagi menempah tempat ke suku akhir piala berkenaan.
Bagaimanapun skuad Penyu tetap unggul sebagai pendahulu kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan.
Skuad Penyu bimbingan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim bermula garang dengan beberapa percubaan bahaya  menerusi rangkaian  penyerangnya yang diketuai kapten, Kipre Tchetche dan Mohd Ashari Samsudin, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad The Bos Gaurus.
Pelawat yang hadir dengan misi wajib menang berjaya menyerap tekanan dengan melakukan serangan balas untuk meledak jaringan pendahuluan menerusi penyerang sensasinya, Gilmar Da Silva tapi kubu tuan rumah terus kebal bertahan.
Pada minit ke-20, Gilmar yang mendapat peluang di dalam kotak penalti hasil kealpaan benteng tuan rumah tidak melepaskan peluang berkenaan dengan mencetak nama sebagai penjaring gol buat pasukannya untuk mendahului 1-0.
Kelibat pemain TFC dan Perak lincah bertarung di padang.
Skuad TFC yang dilihat tertekan nyaris dibolosi buat kali kedua sembilan minit kemudian melalui tolakan mengelirukan Muhammad Firdaus Saiyadi, tapi bola bergolek melepasi tiang gol sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir terus diasak pasukan The Bos Gaurus yang ghairah untuk menambah jaringan dengan beberapa percubaan bahaya yang nyaris menemui mulut gol.
Hasil sepakan sudut Lee Tuck, Mohd Ashari yang tidak dikawal melakukan rembatan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-65 sekali gus berjaya menyamakan kedudukan 1-1.
Semangat juang tinggi pemain Perak akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat jaringan kemenangan 2-1 sekali lagi menerusi Gilmar pada minit ke-86 perlawanan.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: