Saturday, 29 September 2018

Masjid Nadi Masyarakat Islam

SHARE
Sultan Mizan berkenan menandatangani plag perasmian Masjid Pengkalan Pandan, Chukai, Kemaman. Foto: Tengku Syamim Tengku Ismail
Oleh: Khairul Azlam

KEMAMAN - Masjid merupakan institusi terpenting dalam Islam dan merupakan pusat pembangunan modal insan, sama ada daripada aspek rohani, sahsiah, akhlak mahupun kehidupan bermasyarakat.

Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bertitah, masjid dibaratkan sebagai nadi kepada sebuah masyarakat.

Kata baginda, masjid juga merupakan jambatan yang memperkukuhkan persaudaraan, kesefahaman, kesatuan, keharmonian, keadilan, keilmuan dan menjadi tempat kemegahan umat Islam.

“Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mendirikan Masjid Quba’ untuk dijadikan sebagai pusat ibadat, disamping sebagai pusat penyatuan ummah, pusat pendidikan dan tempat bermesyuarat, ke arah melahirkan generasi umat Islam yang cemerlang,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Pengkalan Pandan, Chukai, Kemaman (28 September).

Sultan Mizan ketika bertitah merasmikan Masjid Pengkalan Pandan, Chukai, Kemaman.

Justeru, kata Tuanku Sultan Mizan, bagi menjadikan masjid sebagai institusi yang dinamik ke arah membangunkan modal insan, ia perlu diurus dengan sebaik mungkin dari segi organisasi, aktiviti, prasarana, perkhidmatan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, menurut baginda amat wajar masjid ini diuruskan dan ditadbir dengan baik agar ia benar-benar mampu membangunkan modal insan yang berkualiti seiring dengan perkembangan zaman, serta dapat mendepani cabaran yang mendatang.

“Masjid bukan sahaja lambang kemegahan yang membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan sahaja. Tetapi hendaklah menjadi lambang kemegahan umat Islam yang dipenuhi dengan aktiviti dan pengisian program penghayatan Islam.

“Dalam usaha mengembalikan  dan memperkasakan fungsi masjid agar terus diimarah dan dapat ‘hidup’ di tengah-tengah masyarakat khususnya untuk umat Islam.

“Beta menasihati supaya Jawatankuasa Masjid, Pegawai Masjid, Da’ie dan sebagainya hendaklah mengambil langkah-langkah memperluaskan fungsi masjid,” titahnya kepada lebih 1,500 hadirin.

Selain itu, kata Tuanku Sultan, masjid bukan hanya sebagai tempat ibadat sahaja tetapi boleh juga dijadikan sebagai pusat dalam bidang penyebaran ilmu.

Menurut baginda, budaya ilmu itu bukan hanya berbentuk ceramah atau kuliah semata-mata, tetapi perlu dalam versi yang pelbagai seperti kelas tambahan akademik, pusat asuhan kanak-kanak, perpustakaan dan sebagainya.

Sultan Mizan mencemar duli bersalaman dengan rakyat selepas Majlis Perasmian Masjid Pengkalan Pandan, Chukai, Kemaman.

“Masjid hendaklah dijadikan tempat mesra masyarakat termasuk kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), dengan mengadakan program berbentuk kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis akad nikah, korban dan aqiqah yang berpusat di masjid.

“Masjid juga hendaklah dijadikan tempat yang aman, selamat dan sejahtera serta tidak berpihak kepada mana-mana perbezaan fahaman dan sebagainya.

“Selain daripada itu, masjid perlu berada di tahap yang terbaik dalam semua aspek meliputi kebersihan, keceriaan, kekemasan serta mampu menarik minat orang ramai untuk mengunjunginya,” jelas Sultan Mizan.   

Tuanku Sultan Mizan juga menyarankan agar pihak pengurusan berkenaan dapat mewujudkan dan mengukuhkan sumber kewangan masjid.

Katanya, sumber kewangan itu penting bagi perbelanjaan pengurusan, membiayai program, mengaturkan bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang memerlukan serta membantu gerakan dan usaha membangunkan Islam.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato’ A Rahman Yahya, Pegawai Daerah Kemaman, Johan Ibrahim dan ramai lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: