Friday, 7 September 2018

Maal Hijrah: Azam Beri Khidmat Terbaik

SHARE
Dr Alias Razak menyampaikan ucapan maal hijrah. Foto - Harish Fadzillah
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri yang menyambut Maal Hijrah pada tahun ini dengan tema ‘ 'Menyantuni Ummat Membawa Rahmat’ akan berusaha  sedaya upaya memberikan perkhidmatan  yang terbaik kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, semua umat Islam khususnya rakyat Negeri Terengganu dapat bersama memajukan negeri selaras dengan agenda maju, berkat dan sejahtera.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah  1440 Hijriah.

“Kerajaan negeri komited untuk menyediakan keperluan asas yang dijanjikan dalam manifesto iaitu peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan perumahan yang mencukupi untuk rakyat.

“Kita akan membantu dari segi kemudahan kesihatan, air percuma serta lain-lain perkara yang boleh membawa kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Tingkat Enam Wisma Darul Iman, pada Rabu, 5 September.

Katanya, dengan perkhidmatan dan pembangunan projek serta menyantuni rakyat dengan sebaik-baiknya, diharap akan melahirkan satu kehidupan yang sejahtera.

"Ianya sekaligus akan membawa kebahagiaan dan keberkatan sebagai satu umat yang berada dalam rahmat Allah SWT," ujarnya.

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat Terengganu bangkit bersama kerajaan untuk mencapai objektif Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) pada tahun 2030.

“Saya menyeru agar kita berganding bahu bersama-sama kerajaan negeri untuk merealisasikan hasrat menjadikan Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera melalui satu pelan induk yang telah kita lancarkan iaitu pelan PITAS 2030.

“Semoga dengan gandingan mantap pimpinan negeri dan rakyat akan membawa kita kejayaan dan menjadi satu ummat yang berjaya dan dilindungi Allah,” tegasnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: