Thursday, 6 September 2018

Lapan Mangsa Kebakaran Tinggal Sehelai Sepinggang

SHARE
Keadaan dua buah rumah yang hangus terbakar di Kampung Kekabu, Marang pagi tadi
MARANG - Seramai lapan orang mangsa daripada dua keluarga  tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Kekabu, Marang, Terengganu musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Punca kejadian dipercayai  dari kipas angin yang tidak ditutup suisnya dari salah sebuah rumah terbabit.

Menurut salah seorang mangsa,  Norhafida Shamsudin , ketika kejadian jam 9.40  pagi itu, dia berada di ladang  sayur tidak jauh dari rumahnya.

"Suami saya tiada di rumah kerana keluar bekerja dan yang ada cuma anak lelaki yang berumur empat tahun berada di rumah sementara seorang lagi anak yang berumur lapan tahun berada di sekolah pada ketika itu.

"Masa kejadian berlaku, anak saya berumur yang empat tahun duduk dalam rumah seorang diri dan apabila dia tengok api menyala dalam bilik abangnya, dia terus panggil saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini (5 September).

Tambahnya, dia bergegas pulang ke pulang ke rumah namun tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api sedak marak.

Sementara itu, suami Norhafida, Hasbullah Bakar, yang bekerja di sebuah bengkel di Bandar Marang hanya mengetahui kebakaran setelah mendapat panggilan telefon dari isterinya.

Seorang lagi mangsa yang ditemui, Adi Ahmad Awang berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya terfikir untuk menyelamatkan isteri dan dua orang anaknya.

"Masa kejadian tu saya tengah tidur, tiba tiba saya dengar sesuatu meletup dari bilik sebelah kemudian letupan di atas bumbung, terus saya bangun kejutkan anak-anak dan bawa mereka keluar," ujarnya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat  dari Balai Kuala  Terengganu dan Wakaf Tapai bersama 20 anggota tiba lima belas minit  kemudian  dan mendapati api sedang marak membakar dua buah rumah kayu setingkat itu.

Pasukan bomba mengambil masa hampir setengah jam bagi mengawal kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: