Tuesday, 11 September 2018

Lagi Ribut Kencang Landa Bukit Besi

SHARE
Haji Ghazali (dua dari kiri) meninjau kerosakan rumah mangsa.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sekali lagi dilanda bencana ribut kencang.

Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian ribut pada jam 4 petang itu telah mengakibatkan sembilan buah rumah tercabut atap.

"Ini merupakan gelombang keenam dalam kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini.

"Yang paling kritikal sebelum ini adalah apabila pokok menghempap atap rumah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menziarahi rumah mangsa ribut, semalam (10 September).

Beliau segera menziarahi rumah mangsa ribut usai Majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Masjid Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah.

"Saya mengharapkan doa daripada orang ramai agar bencana ribut yang melanda seluruh kawasan Terengganu baru-baru ini termasuk di DUN Bukit Besi tidak berterusan dan tidak lagi berulang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perumahan Bukit Besi, Abas Ghani berkata, kejadian petang tadi telah diambil tindakan segera oleh komuniti setempat dan telah dimaklumkan kepada pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad.


"Pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad telah mengalihkan pokok-pokok yang tumbang.

"Tenaga Nasional Berhad juga turut mengambil perjalanan memeriksa tiang-tiang elektrik di mana ada pokok yang tumbang serta terkena wayar elektrik," ujarnya.

Beliau menyatakan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: