Sunday, 23 September 2018

Kerajaan Puji Usaha JHEAT Kekang Maksiat

SHARE
Ustaz Ariffin Deraman.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu menyokong usaha dan langkah drastik Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang melakukan serbuan ke atas dua pusat hiburan yang berkonsepkan ‘disco ala pantai’ di Pulau Perhentian, Besut, baru-baru ini (16 September).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, serbuan dan tangkapan JHEAT adalah selari mengikut undang-undang.

“Kita menyokong mana-mana usaha jabatan atau agensi yang mendatangkan manfaat kepada rakyat selagi mana tertakluk kepada undang-undang.

“Mereka boleh mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar undang-undang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, semalam (22 September).

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, kerajaan tidak menghalang sebarang program atau aktiviti para pelancong asalkan mengikut garis panduan dengan sewajarnya.

“Melancong adalah salah satu aktiviti yang sangat digalakkan oleh kerajaan negeri.

“Bahkan, kita dapat mempromosikan Terengganu sekaligus menjana pendapatan.

“Namun, pelancong haruslah mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, seramai 10 remaja tempatan termasuk tiga wanita berusia lingkungan 20-an yang sedang asyik berpesta arak dicekup selain turut dirampas beberapa botol minuman keras dipercayai baki minuman yang diminum mereka.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: