Thursday, 27 September 2018

Kerajaan Mahu Ubah Imej Penguatkuasa MBKT 

SHARE
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Haji Samiun Salleh (kiri) memakaikan pangkat kepada sembilan Penguatkuasa MBKT. 
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mahu mengubah imej penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya ianya tidak menjadi perbualan negatif masyarakat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Haji Samiun Salleh berkata, ianya bertujuan tidak lain tidak bukan  untuk mentransformasi fungsi penguatkuasaan MBKT ke arah yang lebih dihormati dan disegani.

“Fungsi penguatkuasaan merupakan salah satu tunjang dan tulang belakang kepada peranan serta fungsi MBKT.

“Tambahan pula anggota penguatkuasa merupakan warga yang paling ramai di MBKT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Penguatkuasa dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Bandaraya Kuala Terengganu, (26 September).

Katanya, pegawai penguatkuasa perlu melihat objektif penubuhannya iaitu menjalankan tanggungjawab dan memastikan undang-undang dilaksanakan serta dipatuhi bagi mencapai matlamat untuk memperkasakan komuniti.

Tambahnya, ianya bertujuan menjadikan kawasan MBKT selesa didiami dan perkhidmatannya diuruskan dengan cemerlang.

“Saya mahu melihat masyarakat yang bermukim di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dapat menerima Penguatkkuasa MBKT ini sebagai salah satu badan menegakkan undang-undang dan mempunyai jalinan mesra dalam masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, kata Samiun, majlis ini diadakan bagi menghargai dan meraikan pesara serta bakal pesara untuk bulan September dan Oktober.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sembilan penguatkuasa yang menerima pangkat baharu yang terdiri daripada dua orang 'Chief Inspektor' dan tujuh orang 'Inspector'.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: