Wednesday, 26 September 2018

Kerajaan Biayai 20 Pegawai Lanjut Pelajaran

SHARE
'Surca' aplikasi tanpa kos dilancar oleh Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) di Primula Beach Hotel. Foto: Tengku Syamim Tengku Ismail
KUALA TERENGGANU - Seramai 21 Pegawai Tajaan Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA ) Sesi 2017/2018 yang lalu.

Manakala 2O orang pegawai lagi akan berbuat demikian bagi sesi pengajian 2018/2020 mulai 30 September ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  penajaan itu dibuat adalah untuk proses pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan mutu kecekapan pentadbiran di kalangan mereka.

Serentak  itu kerajaan negeri akan mengembangkan lagi kemahiran pegawai dengan menambah peruntukan khusus yang akan dibentangkan dalam Bajet Tahun 2019, Oktober ini.

"Ada peningkatan peruntukan berbanding dengan tahun lepas, tunggu dan lihat masa pembentangan nanti," jelas beliau.


Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra  Menteri Besar Bersama Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Negeri dan Persekutuan, Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLS) serta Swasta di Primula Beach Hotel di sini 25 September.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahli-ahli Parlimen, Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan Negeri Terengganu dan Persekutuan.

Dr Ahmad Samsuri seterusnya berkata, kemahiran itu boleh diperolehi dalam pelbagai cara termasuk menimba ilmu dan 'job attachment' (sandaran kerja).

Menteri Besar dan SUK turut berucap di majlis berkenaan untuk memberi kesedaran kepada pegawai tentang perlunya meningkatkan kualiti profesionalisme dalam kerjaya.

Sementara itu, Menteri Besar melancarkan Aplikasi 'Survey Calculation' (Surca) bagi tujuan pengukuran tanah secara tepat di lokasi, di majlis yang sama.


Aplikasi tersebut yang direka  khas tanpa kos oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman telah dimuat naik di 'Google Play Store' baru-baru ini.

Dr Ahmad Samsuri turut beramah mesra dengan para pegawai kerajaan sebelum majlis itu bersurai.

SHARE

Author: verified_user


0 komen: