Sunday, 23 September 2018

Kerajaan Bantu Mangsa Bencana Lombok

SHARE

MB (tengah) menyaksikan gimik penyerahan check oleh CEO Terengganu Incorperated (TI), Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak kepada Mohd Sanusi (kiri) untuk bantuan kemanusiaan Lombok. -Foto Syaiful Mustafa

Oleh Suhaimi Taib & Farah Mohd Jafar

SEPANG – Kerajaan Terengganu sentiasa menyokong apa jua misi kemanusiaan untuk membantu mangsa bencana di seluruh dunia bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di Pulau Lombok, Indonesia umpamanya, kerajaan melalui anak-anak syarikatnya berkolaborasi (bekerjasama)  menyediakan dana untuk tujuan tersebut.

Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 membawa Dana RM100 Ribu.
Kali ini dana itu disalorkan melalui badan bukan kerajaan,  PAS Relief yang dapat mengumpul sebanyak RM100 Ribu.

"Saya difahamkan,  misi bantuan kemanusiaan itu adalah kali kedua. Kali pertama dibuat pada bulan Ogos dengan dana bantuan dibawa sebanyak RM50 Ribu dan empat orang anggota NGO itu terlibat," jelas beliau.

Kerajaan Negeri Terengganu katanya,  menyokong penuh usaha misi kemanusiaan sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang mengalami kesulitan akibat bencana dan selainnya.

Menteri Besar berkata demikian di Majlis Perasmian Pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) 23 September.

Katanya, bantuan kemanusiaan memerlukan usaha yang tinggi dan serius dalam menyampaikan bekalan makanan, minuman dan tempat tinggal.

“Keperluan asas yang diperlukan oleh mereka tentulah banyak. Makanan, minuman, tempat untuk mereka berteduh, penjagaan kesihatan dan sebagainya yang memerlukan usaha yang tidak sedikit,” katanya lagi.

Dr. Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa penglibatan pelbagai badan dan agensi dalam misi kemanusiaan ini dapat menambahkan lagi pengalaman dan jaringan sebagai sebuah organisasi NGO dengan negara luar.

Selain bantuan fizikal berbentuk kewangan, kehadiran sukarelawan turut membawa roh semangat rakyat Malaysia buat jiwa-jiwa mangsa yang sedang menghadapi kesukaran supaya lebih kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.

“Saya percaya sedikit sebanyak apa yang cuba dibawa pada hari ini bukan sekadar membawa bantuan kewangan tetapi membawa roh dan semangat rakyat Malaysia.

"Kerajaan Negeri Terengganu secara khususnya bahawa apabila kita berhadapan dengan kesukaran, kita Insya-Allah akan hadir kerana kita tidak tahu satu hari nanti kita juga akan berdepan dengan kesukaran dan di saat itu kemungkinan kita juga mengharapkan rakan-rakan kita daripada luar datang membantu kita.

“Apa yang penting ialah kita meletakkan niat hanya kepada Allah SWT kerana pertolongan daripada Allah itu adalah pertolongan yang paling besar yang kita ini boleh saja merancang, merangka apa jua strategi, kaedah, tetapi akhirnya hendaklah kita serahkan kepada kekuasaan Allah SWT,” ujarnya lagi.

Misi Kemanusiaan 2.0 ke Lombok, Indonesia dibuat ekoran gempa bumi yang berlaku pada Julai lalu berskala 6.4 ritcher yang mengorbankan ramai nyawa, mengakibatkan banyak kerosakan dan bangunan runtuh.

Kemusnahan mencatatkan 400 Ribu orang kehilangan tempat tinggal, 80 Ribu buah rumah yang musnah dan 1,000 buah masjid runtuh.

Kesulitan yang dihadapi mangsa seperti ketiadaan air, bekalan makanan yang makin susut dan juga tiada tempat pendidikan untuk anak-anak.

Sehubungan itu, PASRelief berkolaborasi dengan beberapa GLC Terengganu dan NGO menghantar anggota rombongan misi kemanusiaan seramai 31 orang dalam menyampaikan bantuan dan bekalan kepada mangsa.

Dalam misi kemanusiaan kali ini,  PAS Relief membawa sebanyak 20 tan makanan.

Majlis Perasmian Pelepasan Misi Kemanusiaan 2.0 turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Pengarah PAS Relief, Haji Mohd Sanusi Md Nor dan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, Ahli Parlimen Sik.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: