Saturday, 1 September 2018

Kawat-Ketengah Anjur Explore Race Sempena Festival Kenyir 2018

SHARE
Peserta Explore Race yang menyertai program kali ini bergambar selepas majlis pembahagian hadiah.
HULU TERENGGANU - Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) julung kali mengadakan Program Explore Race sempena Festival Kenyir 2018.

Pengarah Program Explore Race Ketengah Kawat, Rozainah Zakaria berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk mempromosi Tasik Kenyir melalui aktiviti yang dijalankan.

"Program yang menguji ketahanan mental dan fizikal itu  juga dapat merapatkan hubungan antara peserta dengan media melalui cara yang lebih menyeronokkan.

“Melalui kerjasama dengan media, pengalaman yang diperoleh tentang produk pelancongan kita mungkin dapat ditonjolkan kepada orang ramai dengan perspektif yang berbeza," katanya ketika ditemui pemberita di Tasik Kenyir, Pengkalan Gawi, kelmarin (29 Ogos).

Penganjuran kali ini turut mendapat hadiah berbentuk penginapan yang disumbangkan oleh Hotel Permai dan Hotel Primula.

Kata Rozainah, pertandingan yang hanya mengambil masa sebulan dari segi perancangan, Explore Race  digarap dengan teliti supaya ia turut me­ngandungi elemen yang berkait rapat dengan ahli dan festival yang sedang berlangsung.

"Saya cukup berpuas hati dengan program kali ini dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli jawatankuasa Kawat yang bertungkus-lumus menjayakannya dalam masa yang terhad," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Rozainah berkata, dengan kejayaan penganjuran program tersebut diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Pihak kami mengalu-alukan  kerjasama daripada pelbagai pihak seperti sektor kerajaan dan swasta yang lain dan mampu membuka lebih peluang untuk pihak lain menyertai dengan pelbagai aktiviti yang menarik,” katanya.

Rata-rata para peserta yang terbahagi kepada 17 kumpulan itu amat berpuas hati dengan program yang  telah disediakan pihak penganjur serta amat teruja kerana dapat menimba pelbagai pengalaman walaupun mengambil masa yang tidak lama.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan seperti menjawab soalan, menyelesaikan teka silang kata, menangkap belut dan berswafoto sebagai tiket untuk mendapatkan cop pasport.

Aktiviti-aktiviti yang memerlukan kerjasama dan sokongan ahli-ahli kumpulan itu telah dapat merapatkan lagi hubungan antara media dengan para peserta.

Johan Explore Race, Kelek JB yang berjaya membawa pulang RM500 dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Permai

Manakala juara bagi Explore Race yang julung kali diadakan ini ialah kumpulan 'Kelek JB' yang berasal dari Jerangau Barat, Hulu Terengganu berjaya memenangi pakej bermalam dua hari satu malam di Hotel Permai dan wang tunai RM500.

Ahli-ahlinya yang terdiri daripada Azizie Che Aziz,  Khairil Azmi  Dagang, Mohamad Amiruddin Jusoh dan Mohamad Razman Che Mat. telah berjaya mengutip  markah tertinggi pada kali ini.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: