Friday, 7 September 2018

Insentif Kejuaraan SUKMA XIX, RM1.58 Juta

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (dua dari kiri ) mengangkat plug sasaran utama 53 pingat emas bagi Misi Terengganu "Win Back Mission 2018" SUKMA XIX, di Stadium Tertutup Gong Badak.-Foto Saiful Mustafa

KUALA NERUS - Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM1.58 Juta untuk insentif juara keseluruhan Sukan Malaysia ke 19 (SUKMA XIX) di Perak pada 12 hingga 22 September ini bagi mencapai misi "Win Back Mission 2018".

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jika kontinjen Terengganu mendapat juara keseluruhan sukan tersebut, atlet yang mendapat pingat emas memperolehi RM5 Ribu seorang, Perak (RM3 Ribu) dan Gangsa (RM2 Ribu).

Pemenang pingat emas beragama Islam akan diberi insentif tambahan, dibiayai ibadah umrah ke Makkah manakala pemenang bukan beragama Islam mendapat RM5 Ribu. 

Katanya, ia akan disusuli dengan insentif kemenangan segera untuk emas sebanyak RM300 seorang, Perak (RM200) dan Gangsa (RM100) sebagaimana sebelum ini.

Bagaimanapun jika kontinjen gagal mencapai target kejuaraaan, insentif kemenangan pingat akan kekal seperti biasa iaitu bagi pemenang pingat emas, mendapat RM3 Ribu seorang, Perak (RM2 Ribu) manakala Gangsa (RM1 Ribu).

"Kita (Kerajaan Terengganu) yang memulakan skim ini dan sekarang ini hampir kesemua negeri telah mengikuti kita dengan pemberian insentif sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA XIX di Stadium Tertutup Gong Badak 5 September.


Atlet SUKMA XIX Terengganu berjuang untuk menjadi juara keseluruhan tahun ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Ketua Kontinjen SUKMA XIX Haji Samiun Salleh, Timbalannya, Dato' Tengku Faruk Hussin Tengku Jalil, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (PBSNT), Haji Ibni Amin Busu, Bapa-bapa Angkat, Jabatan-jabatan Angkat, Ketua-ketua Jabatan.

Panel Kejurulatihan Negeri Terengganu, Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan-Persatuan Sukan Negeri, Pengurus-pengurus Pasukan, Barisan Jurulatih dan 555 orang atlet Terengganu serta Wakil-wakil Media.

Seterusnya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, SUKMA kali ini adalah merupakan yang pertama di bawah kerajaan baharu selepas Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14).

"SUKMA kali ini kita membawa misi kerajaan, misi rakyat, misi ibu bapa, misi guru-guru, misi sahabat handai dan yang lebih penting adalah misi atlet-atlet sendiri yang disepadukan dala satu misi besar negeri bagi memastikan kejuaraan SUKMA Edisi 2018 menjadi miik kita semua,” ujarnya.

Katanya, Terengganu telah kempunan tiga kali berturut-turut untuk mempertahankan kejuaraan iaitu tahun 2013, 2014 dan 2016 setelah Berjaya menjadi juara empat edisi berturut-turut sebelumnya termasuk tahun 2008, 2010, 2011, dan 2012.

Justeru himpunan di stadium tersebut merupakan satu manifestasi penyerahan tanggungjawab 1.5 Juta rakyat Terengganu kepada Kontinjen SUKMA 2018 dalam usaha untuk merampas kembali kejuaraan bersama ikrar di bawah tagline “Win Back Mission 2018”.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: