Monday, 3 September 2018

Sebatan Syarie Mendidik Bukan Mendera

SHARE
Ustaz Satiful Bahri (dua dari kiri) berucap dalam sidang media selepas pelaksanaan sebatan.
Oleh:  Muhd Lukman

KUALA TERENGGANU - Hukuman sebatan terhadap pesalah lesbian kali pertama di negeri ini yang berjaya dilaksanakan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu membuktikan bahawa tujuan sebenar sebatan dalam Islam bukanlah untuk memudaratkan, bukan juga untuk menzalimi tetapi ia merupakan proses pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, dari sudut pandang Islam, tercatat di dalam Al-Quran bahawa kali pertama muncul hubungan sesama jenis atau perbuatan dari lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula pada zaman Nabi Luth.

"Di dalam Al-Quran Surah Al-A’raf ayat 80 dan 81 Allah berfirman: “Dan (Kami juga telah mengutus Nabi) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kalian mengerjakan perbuatan yang sangat hina itu, yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelum kalian?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Mahkamah Syariah Negeri Terengganu yang berjaya melaksanakan hukuman sebatan dengan baik dan lancar sehingga selesai.

"Alhamdulillah hukuman sebatan hari ini berjalan dengan lancar dan diharapkan semua pihak saling berganding bahu untuk mengekang gejala LGBT ini.

"Kerajaan mengecam mana-mana badan atau pihak yang menyokong golongan LGBT ini dan akan berusaha untuk membanteras gejala ini dari terus menular ke dalam masyarakat kita.


"Pesalah juga menerima hukuman tanpa membuat rayuan dan hadir untuk menerima sebatan atas kerelaan diri sendiri.

"Kita harap segala kesilapan, keikhlasan dan keredhaan pesalah menerima keputusan sebatan ini akan mengkafarahkan dosa-dosa mereka dan insya-Allah akan memberi ruang kepada mereka untuk bertaubat," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas pelaksanaan sebatan di Mahkamah Syariah Negeri Terengganu, hari ini (3 September).

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berharap agar hukuman sebatan ini akan menjadi peringatan kepada masyarakat umum supaya menjauhi perkara-perkara yang menjadi kesalahan dalam syariat Islam itu sendiri.

"Al-Quran sendiri telah menegaskan kepada orang Islam supaya jangan menghampiri zina kerana ia merupakan penyakit dan akan menimbulkan banyak masalah di dalam masyarakat," katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu didakwa cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan di Dataran Arena Square, Dungun, pada jam 1:50 tengahari, bertarikh 8 April lalu.

Keputusan dibuat Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail selepas pasangan itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Kamalruazmi berkata, kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius dan bertentangan dengan fitrah yang ditentukan Allah.


Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Bin Hashim, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan barisan Peguam Syariah Negeri Terengganu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: