Friday, 7 September 2018

Hukuman Sebat Syariah, Mesej Kepada Rakyat Malaysia

SHARE

Foto : Harish Fadzillah

KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat perlu memahami hukuman sebat syariah yang dilaksanakan adalah untuk memberi pendidikan dan menghantar mesej  kebaikan kepada seluruh warga Malaysia.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat harus memahami prinsip undang-undang yang dilaksanakan itu bagi mengelakkan amalan yang tidak wajar khususnya di Terengganu dan Malaysia amnya, yang mempunyai tatasusila serta amalan agama tersendiri.

“Kita menjalankan prinsip 'Rule off Law ' apa yang diputuskan pihak mahkamah itu adalah berdasarkan kepada enakmen dan peraturan yang sedia ada yang sudah diluluskan sebegitu lama.

“Pihak penguatkuasa melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan enakmen di mahkamah yang membuat keputusan berdasarkan pengakuan dan sebagainya.


"Dan tindakan sebagaimana prinsip undang-undang mana yang bersalah  serta dijatuhkan hukuman kepada pesalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Kesyukuran meraikan pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia IV  di Hotel Permai, di sini, kelmarin, (4 September).

Katanya, rakyat seharusnya berfikiran terbuka dan seharusnya menerima serta melihat keindahan di sebalik hukuman tersebut berbanding hukuman sivil.

“Dalam hal ini kita tidak dapat menghalang orang yang tidak puas hati dan kita percaya mereka melihat sendiri apa yang di praktikkan  bagaimana hukuman itu dijalankan.


"Ia sedikit sebanyak mengambil masa masyarakat untuk memahami dan saya  percaya masyarakat yang ada dalam negara kita ini seharusnya melihat dengan objektif  dengan mata hati dan dengan ilmu kefahaman bukan dengan emosi,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Terengganu  mempunyai enekmen yang sama dengan negeri lain dan para pemimpin mengambil sikap menjunjung prinsip undang-undang yang ada.

“Kalau kita tengok puluhan tahun dahulu apabila negara barat memperkenalkan kewajipan memakai tali pinggang keledar dalam kereta.

“Pada peringkat awal kalau kita masih ingat kumpulan hak asasi ada juga  yang menentang kerana mereka mengatakan ini mengganggu hak kereta saya  terpulang saya nak pakai atau tidak.


“Tapi lama kelamaan mereka memahami bahawa itu satu keperluan dan ia tidak timbul masalah lagi,” jelasnya.

Justeru Menteri Besar berkata, kerajaan bukan sengaja mahu menghukum orang tetapi ianya untuk menghalang perkara yang tidak elok daripada terus berlaku dan rakyat seharusnya mendapatkan maklumat yang tepat serta betul sebelum apa jua tindakan dan tohmahan dibuat.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: