Wednesday, 12 September 2018

Haron Tokoh Keluarga Mithali Dedah Rahsia Kejayaan

SHARE
Haron Yusof (duduk tengah) dan keluarga bersama Ustaz Ariffin Deraman dan isteri.
Oleh: Aslam Wira

KUALA TERENGGANU - Tokoh Keluarga Mithali, Haron Yusof menjelaskan bahawa pendidikan Al-Quran kepada anak-anak merupakan kunci utama kejayaan kepada keluarga beliau.

“Alhamdulillah, anak-anak saya kesemuanya boleh membaca Al-Quran dan dua orang daripada mereka merupakan hafiz dan hafizah.

"Namun, mereka juga mempunyai sijil akademik dan ijazah dari Institut Pengajian Tinggi Awam di beberapa tempat di luar negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri Terengganu, semalam (11 September).

Menurutnya, seiring dengan kemajuan Malaysia yang baharu dan moden, anak-anak sepatutnya perlu dipantau oleh ibu bapa daripada terdidik dengan media massa dan gajet.

“Kita sebagai ibu-bapa perlu berikan ruang untuk berkomunikasi dengan anak-anak untuk memahami mereka dengan lebih dekat.

"Jangan biarkan kesibukan kerja membuatkan mereka terjerumus dalam didikan yang tidak bermoral berpunca daripada ketagihan televisyen sdan gajet," ujarnya.

Haron Yusof yang menerima Anugerah Keluarga Mithali hadir bersama keluarga majlis tersebut.

Beliau telah menerima wang tunai, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: