Monday, 3 September 2018

Galak Pelajar Sekolah Jadikan Muzium Medan Pencarian Ilmu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri melihat hasil seni tenunan perak yang dipamerkan sempena Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, hari ini. Foto Oleh: Abu Ubaidah Mohd Noor
KUALA TERENGGANU-Sekolah-sekolah dibawah kelolaan kerajaan negeri disaran membawa pelajar mereka  berkunjung ke muzium yang berkonsepkan mendidik serta menyebarkan pengetahuan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut telah dimakluman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman untuk tindakan sewajarnya.

“Saya telah meminta supaya pelajar-pelajar sekolah dibawah kerajaan negeri mempunyai satu modul yang khusus kepada anak-anak ini untuk datang ke muzium dan membiasakan diri mereka dengan bahan-bahan muzium seperti membaca dan sebagainya serta ada tugasan yang perlu dibuat.

“Contohnya, ada pelajar yang berminat berkaitan tentang kendi, jadi mereka boleh membuat penulisan tentang kendi untuk mereka lebih faham tentang sejarahnya, pengunaan, bahan dan sebagainya.

 “Kita bertanggungjawab untuk memberi maklumat kepada generasi baru ini dari peringkat awal supaya anak-anak minat kepada muzium dan bahan-bahan sejarah dan ini adalah salah satu cara dalam bidang kuasa kerajaan negeri yang boleh dilaksanakan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar kearifan Tempatan-Tekstil Serta Pelancaran e-Commerce Muzium Maya Dan Pelancaran Buku Kearifan Tempatan di Kompleks Muzium Negeri, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat Negeri,  Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Kamarul bahrin A. Kassim dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah.

Ahmad Samsuri turut mengharapkan sekolah dibawah kelolaan kerajaan pusat turut mengambil langkah sama dalam menggalakkan pelajar menjadikan muzium bahan pendidikan sekolah.

“Saya juga mengharapkan rakyat Terengganu khususnya mengambil sikap yang sama dengan menjadikan muzium sebagai tempat medan ilmu untuk mendapat maklumat berkaitan budaya,warisan,  adat melayu serta sosial masyarakat.

“Rugi sekiranya bangunan muzium yang begitu cantik dan besar ini tidak dijadikan tempat yang penting untuk dikunjungi,” ujarnya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: