Friday, 21 September 2018

Dr Azman Jalani Pembedahan Kecil Kaki

SHARE
Dr Azman Ibrahim (empat dari kiri) diziarahi sahabat handai di KTS Hospital.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU - Setelah hampir 4 bulan bertahan akibat kecederaan tendon pada bahagian buku lali, akhirnya Dr Azman Ibrahim terpaksa akur mendapatkan rawatan.

Menurutnya, kecederaan semasa bermain sepak takraw bersama anak muda Jabi tidak lama dahulu menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan.

"Akibat kesibukan selepas pilihan raya, proses angkat sumpah dan tugas-tugas yang banyak menyebabkan pembedahan tertangguh.

"Walaupun suasana kerajaan dan parti yang agak sibuk, tetapi langkah menjalani pembedahan terpaksa diambil kerana tiada alternatif lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika dilawati semalam selepas menjalani pembedahan pada 19 September di Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital.

Menurut Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, buat sementara waktu, tugas beliau diambil alih oleh Pegawai Khas, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Norisabri Ismail dan 13 orang kakitangan di Pejabat Pusat Khidmat DUN Jabi.

Manakala tugas-tugas Exco diambil alih buat sementara waktu oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun dan pegawai-pegawai di pejabat.

"Pegawai-pegawai dan kakitangan akan membantu dan menyelesaikan urusan rakyat dalam tempoh masa pergerakan Exco yang agak terhad," katanya.

Dalam keterbatasan pergerakan, beliau mengharapkan rakyat memahami keadaannya.

"Saya berharap dalam tempoh sebulan ini, rakyat kena cari kitalah," ujarnya dalam nada bergurau.

Menurut doktor yang merawat, proses penyembuhan mengambil masa paling kurang 6 minggu.

Dr Azman turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang datang menziarahi dan mendoakan kesembuhan beliau.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: