Sunday, 2 September 2018

Dokong Bersama Hasrat Kerajaan Negeri: Dr Alias Razak

SHARE
Dr Alias Razak berucap kepada hadirin dalam majlis tersebut.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS - Manifesto Kerajaan Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di semua peringkat termasuklah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) peringkat cawangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, semuanya perlu bertindak selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melihat segala manifesto yang dijanjikan tertunai dan dapat dinikmati oleh rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang politik.


Beliau turut mengulas berkenaan beberapa janji manifesto kerajaan negeri antaranya adalah rumah mampu milik, lesen motosikal percuma, kad Sejahtera, wad kelas 3 percuma, peluang pekerjaan dan pembiayaan perumahan oleh kerajaan negeri bagi pemohon yang layak.

"Sebahagaian manifesto tersebut ada yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri umpamanya pemberian 20 meter padu air percuma kepada yang layak, karnival kahwin percuma dan lain-lain lagi.


"Terdapat juga manifesto yang dalam proses pelaksanaan dan insya-Allah akan ditunaikan daripada semasa ke semasa dalam tempoh 5 tahun ini.

"Di samping itu, kerajaan negeri juga menyediakan biasiswa bagi pelajar-pelajar cemerlang yang menyambung pengajian di peringkat universiti dan pengajian tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penubuhan empat cawangan PAS yang baru dalam dua majlis yang berbeza, masing-masing di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa (KOMTAQ), Paya Lima Amas, Batu Enam dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bukit Tok Ris, Bukit Tunggal.

Cawangan baru yang ditubuhkan ialah Cawangan PAS Paya Lima Amas, Cawangan PAS Taman Perumahan Bukit Tunggal, Cawangan PAS Taman Perumahan Bukit Datu dan Cawangan PAS Seberang Tuan Chik Haji.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berharap agar masyarakat menjauhi segala jenis masalah sosial seperti penagihan dadah dan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang kian meruncing mutakhir ini.

"Perkara ini bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah malah menyebabkan tersebarnya penyakit yang menular seperti HIV dan seumpamanya," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: