Friday, 14 September 2018

DHPP Perjuangkan Lapan Agenda

SHARE

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) buat julung kalinya mengadakan Konvensyen DHPP bertemakan 'Memimpin Perpaduan' sempena Muktamar Tahunan PAS Ke 64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, Balasubramaniam Nachiapan berkata, kovensyen tersebut sangat penting dalam menentukan hala tuju perjuangan DHPP khususnya ketika berhadapan dengan kerajaan yang baharu diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum Ke 14.

Justeru katanya, DHPP akan memperjuangkan lapan agenda pertamanya, memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela.

"Kita sebagai sayap perjuangan semestinya mendokong kerja murni ini dengan mempertingkatkan kerja kebajikan kepada masyarakat di kalangan bukan Islam.

"DHPP juga mendesak kerajaan Pusat mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat dan mematuhi manifesto seperti dijanjikan," ujarnya ketika menyampaikan ucaptama sempena konvensyen tersebut.


Turut hadir, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Malah katanya, DHPP juga meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda bertindaknya yang merangkumi aspek pekerjaan, pelajaran dan sosio ekonomi masyarakat.

"Dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni, memperkukuh perpaduan rakyat merupakan satu keutamaan yang perlu dititik beratkan dan DHPP akan berusaha untuk menjaga perpaduan rakyat, "ujarnya.

Menurutnya lagi, antara lain yang diperjuangkan DHPP ialah untuk menambah keahlian dengan menyasarkan 10 peratus daripada jumlah ahli sedia ada ketika ini yang telah mencecah lebih 20,000 orang.

Dalam pada itu, DHPP akan terus berjuang bersama PAS, menyokong pindaan RUU355 dan agenda perjuangan DHPP terakhir adalah fokus kepada kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke15.

Katanya, PAS telah mengorak langkah untuk mendekati masyarakat bukan Islam sejak dari awal penubuhannya.

"Kita menyedari bahawa PAS merupakan sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan namun ia menolak perjuangan yang berteraskan perkauman malah memberi keadilan kepada semua masyarakat," ujarnya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: