Wednesday, 26 September 2018

Bumi Binasa Kerana Tangan Manusia - Satiful Bahri

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan) menyerahkan hadiah kepada juara pertandingan kuiz. Foto: Syaiful Mustafa
Oleh: Muhd Lukman

KUALA TERENGGANU - Alam sekitar dan bumi akan hancur serta binasa disebabkan oleh tangan manusia itu sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan manusia membinasakan bumi ini umpama menghancurkan diri sendiri.

Menurutnya, masyarakat hari ini lebih mementingkan kemewahan dan keperluan yang dihajatkan sehingga mengorbankan alam ini.

"Kadang-kadang bila manusia mementingkan  kemewahan dunia, mendahulukan keperluan yang dihajati, mereka merosakkan sebahagian bumi ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Pertandingan Kuiz Alam Sekitar di Pusat Sains dan Kreativiti, Chendering (26 September).

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengingatkan bahawa Islam mengajak umatnya menghargai alam sekitar.

"Dalam Islam, satu pokok yang hendak ditebang pun mesti disebabkan keizinan syarak.

"Masyarakat perlu dididik untuk menghargai alam sekitar kerana ianya milik Allah, bukan milik kita," tegasnya lagi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah serta menyampaikan hadiah kepada para pelajar yang memenangi pertandingan tersebut.

Johan Kuiz Pertandingan Alam Sekitar pada kali ini telah disandang oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud manakala naib johan dimenangi oleh SMK Tengku Lela Segara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pusat Sains dan Kreativiti,Afnida Aini Alwi, guru-guru serta pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: