Thursday, 13 September 2018

Bersama Bantu Pelarian Syria

SHARE
Wan Sukairi bersama sebahagian penyumbang sempena Kempen Dana (Winter Aid) Pelarian Syria Di Sempadan Turki yang diadakan di SABASUN 2, Gong Badak, Kuala Nerus semalam.  Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

 Oleh: Wan Luqman Hakim

Rakyat negeri ini diseru untuk menghulurkan sumbangan kepada pelarian Syria di sempadan Turki sebagai persediaan mereka menghadapi musim sejuk yang bakal melanda negara itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebarang bentuk sumbangan khususnya keperluan makanan dan pakaian boleh disalurkan secara terus kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat.

“Dana ini bagi membantu mereka khususnya sahabat kita di Syria dan Palestin sebagai persediaan awal kedatangan musim sejuk.

“Seperti tahun-tahun yang lalu melalui program yang sama kita mengharapkan kali ini dana yang lebih besar lagi. Walaupun kita tidak dapat masuk ke dalam tetapi sumbangan kita tetap sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Dana (Winter Aid) Pelarian Syria Di Sempadan Turki yang diadakan di SABASUN 2, Gong Badak, Kuala Nerus semalam.

Katanya, kesusahan dan penderitaan yang dihadapi pelarian Syria tidak sama dengan kesukaran hidup rakyat Malaysia.

“Di negeri dan negara kita juga mempunyai orang-orang yang memerlukan tetapi cabaran mereka (pelarian Syria) lebih besar.

“Mereka akan berdepan dengan satu musim yang akan membunuh mereka jika tidak ada persediaan awal yang secukupnya, khususnya dari segi pemakanan dan peralatan,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: