Wednesday, 5 September 2018

Bekas Penagih Dadah, Jangan Tinggal Solat

SHARE
Cikgu Alias Harun (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada OKP sewaktu ziarah.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Solat yang menjadi perintah Allah mendidik jiwa manusia supaya dapat mencegah  perbuatan mungkar dan memperbanyakkan amal kebaikan. Maka, solat tidak boleh ditinggalkan oleh sesiapa pun yang beragama Islam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Cikgu Alias Harun berkata, kita harus mengekang nafsu dari menguasai diri.

“Biasakan diri solat berjemaah di surau atau masjid supaya tidak kembali ke kancah dadah dan maksiat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada bekas-bekas penagih dadah yang diistilahkan sebagai Orang Kena Pulih (OKP) ketika kunjungan ke rumah mereka sempena Program Ziarah Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, baru-baru ini (2 September).


Menurut Cikgu Alias Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, program tersebut amat baik dan membuktikan mereka berpotensi dan mampu untuk pulih sepenuhnya dengan usaha yang gigih.

Sementara itu,  Ketua Daerah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun, Roslina Awang berkata, program ini adalah kerjasama antara AADK, Jawatankuasa Pemulihan Daerah Dungun (JKPD) dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

“Yang Berhormat sendiri turun padang berjumpa dengan OKP yang masih di bawah pengawasan AADK dan yang telah tamat tempoh”, jelasnya.

Program ziarah berkala ini bertujuan untuk memantau kes-kes pengawasan OKP.

“Masih ramai yang sayang kepada mereka.

"Kali ini, sebanyak empat buah rumah OKP sekitar Tanjung Jara, Kampung Baru Kuala Abang dan Pulau Serai  telah dilawati," tambahnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: