Friday, 21 September 2018

Bahagi MasaTugas Exco, ADUN - Tengku Hassan

SHARE

Oleh : M.Syukri Mohamed 

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar menafikan tohmahan pihak tertentu terhadapnya yang dikatakan jarang bertemu rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau pengurusan masa itu amat penting antara tugasan sebagai Exco Kerajaan Negeri dengan kerja-kerja sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Pihak yang mendakwa saya tidak turun bertemu rakyat di kawasan (DUN Ladang) itu tidak betul dan tidak tepat.

“Pihak pengurusan ADUN telah menyediakan jadual setiap hari Selasa, saya dan pegawai-pegawai saya akan bersama rakyat dalam DUN Ladang. Jika saya tiada, akan ada pembantu dari pejabat ADUN akan menggantikan saya.

“Kita perlu menguruskan masa dengan baik supaya kerja-kerja Exco (kerajaan) berjalan dan juga kerja-kerja ADUN pun berjalan dan setakat hari ini tiada lagi aduan yang diterima mengatakan saya tidak turun padang,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika melawat beberapa buah rumah yang terjejas akibat  ribut serta menghadapi masalah kekurangan infrastruktur di Kampung Sungai Derhaka, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beberapa buah rumah di kampung tersebut menghadapi masalah air bertakung dalam tempoh yang lama ketika hujan kerana tiada kemudahan sistem longkang.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Derhaka, yang memaklumkan mengenai permasalahan rakyat itu.

Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berharap, pihak MPKK kampung terbabit memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Jika boleh kita menyelesaikan masalah itu dengan menyewa Excavator untuk mengali bagi penyelesaian (air bertakung) buat sementara waktu,” jelasnya.

Menurutnya, MPKK adalah mata dan telinga kerajaan bagi memudahkan segala urusan rakyat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: