Monday, 24 September 2018

Allah Suka Golongan 'Mutatohhirin'

SHARE
Ustaz Saiful Bahri Mamat (kiri) membersihkan kawasan sekitar dalam Kempen Kebersihan Pantai Paka.
Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN - Kebersihan bukanlah sekadar kempen, tetapi seruan sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang harus dipatuhi, kerana Allah sukakan golongan 'mutatohhirin' iaitu golongan pembersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pengajian dan Pendidikan Tinggi negeri, Ustaz Saiful Bahri Mamat mengingatkan kepada semua jemaah yang hadir agar menjadi Muslim yang suka akan kebersihan dan kesucian.

“Kita umat Islam daripada kecil dididik dan dilatih melalui proses 'taharah' yang mambawa makna penyucian dan pembersihan.

“Kebersihan ini merupakan etika  sebagai seorang Muslim dan melambangkan agama Islam,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan di Pantai Petak, Paka, kelmarin (22 September).

Ustaz Saiful Bahri yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengingatkan supaya menjaga kebersihan di tempat awam.

“Hari ini pelajar kita di sekolah buang sampah merata-rata kerana mengharapkan tukang sapu yang membersihkannya.

"Begitu juga masyarakat apabila beriadah di pantai, tempat awam dan sebagainya hanya membiarkan sampah yang dibawa dibuang merata-rata.

"Sepatutnya, kita kena buang di dalam tong sampah.

“Sebenarnya, semua ini bermula dengan etika, budaya masyarakat yang dibentuk dengan jati diri kita," katanya.

Beliau menyatakan kadang-kadang orang bukan Islam lebih memahami erti kebersihan.

"Kalau di Pattani, ada golongan bukan Islam, tetapi mereka menjaga masjid dan surau di sana.

"Mereka mengalu-alukan kedatangan orang Muslim ke tempat mereka dalam keadaan yang bersih.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh dan juga Pihak Petronas yang menganjurkan program ini.

“Insya-Allah selepas ini, kita harap setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan menganjurkan gotong-royong di kawasan masing-masing,” ujar beliau.


Turut hadir ialah isterinya, Sabariah Ilyas, wakil Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Rashidi Wan Suhaimi, kakitangan petronas, wakil i-MiTS dan wakil MPKK Paka.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: