Sunday, 30 September 2018

20,000 Hadir Program Karnival Pantai 2018

SHARE
20 ribu pengunjung membanjiri karnival pantai sepanjang tiga hari yang berakhir 29 September, di Pantai Batu Buruk . YB Ustaz Ariffin Deraman.  Foto - Harish Fadzillah
KUALA TERENGGANU - Kira-kira 20 ribu pengunjung hadir ke Program Karnival Pantai 2018 yang telah diadakan di Pantai Batu Buruk, bermula 27 sehingga 29 September 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Ustaz Ariffin Deraman berkata, karnival tersebut diadakan adalah sebagai satu usaha untuk menarik pelancong.

“Karnival ini adalah lanjutan daripada pesta pantai yang lalu dan tradisi  puluhan tahun yang lalu.

"Orang kampung dulunya sinonim dengan main pantai tetapi kita telah mengubah pengisian dan namanya daripada pesta pantai kepada Karnival pantai.

“Ianya adalah untuk mengekalkan tradisi turun temurun. Antaranya  macam hari ini, pada sebelah petang kita ada permainan tradisional seperti bola tin, terompah, dam dan wau tradisional yang ada di Terengganu seperti wau bulan, wau kucing dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Dataran Batu Buruk selepas selesai bermain bola tin (29 September).

Katanya, ada pengunjung yang datang dari jauh ke karnival itu, antaranya dari Kemaman dan Besut bahkan dari Negeri Pahang.

Karnival Pantai dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di bawah portfolio pelancongan.

“Kita (pihak kerajaan) telah  memasukkan (karnival ini) dalam kalendar pelancongan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Lapan pejabat daerah terlibat dengan program karnival termasuk agensi Yayasan Pembangunan Usahawan yang melibatkan jualan pelbagai produk tempatan.

“Setakat ini jualan melibatkan hampir 50 booth dan kita buat bangsal sebenarnya daripada buluh dan pelepah daun kelapa melambangkan keunikan masyarakat lalu.

“Kita galakkan pejabat-pejabat daerah menghias booth mengikut kebudayaan dan kesesuaian daerah masing-masing,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu agar memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan datang beramai-ramai ke Majlis Penutup Karnival Pantai 2018 yang dirasmika oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: