Monday, 3 September 2018

200 Penerima E-Kasih Terima Sumbangan

SHARE
Ustaz Sharizukirnain (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada peserta e-Kasih.
Oleh: Abd Muhaimin

SETIU - Lebih 200 orang penerima e-Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri menerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan di Dewan Kompleks Tarbiyah Lukman Nul Hakim (KTLH) Guntung Luar, kelmarin (1 September).

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Sharizukirnain Abdul Kadir berkata, program seperti ini wajar diteruskan tanpa mengira fahaman politik, akan tetapi kita juga mengambil kira tahap kelayakan sebenar penerima agar tidak ada golongan yang berhak yang tercicir.

"Penerima sumbangan pada hari ini terdiri daripada golongan fakir miskin yang sebahagiannya pernah menerima sumbangan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Kita cukup komited untuk menyalurkan segala sumbangan daripada kerajaan negeri untuk rakyat Negeri Terengganu.

"Panjatkan syukur pada Allah dan kuatkan hubungan kita kepadaNya.

"Jangan hanya semata-mata bergantung dengan bantuan dan pemberian dari mana-mana pihak.

"Sesungguhnya tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan di Dewan Kompleks Tarbiyah Lukman Nul Hakim (KTLH) Guntung Luar, kelmarin (1 September).

Sementara itu, Pegawai Khas Penyelaras DUN Permaisuri, Arman Nulamir Abdul Wahab berkata, beliau meminta ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang telah dilantik supaya jujur serta amanah dalam memilih peserta e-Kasih agar matlamat utama program ini sampai kepada sasaran yang sebenar.


"Insya-Allah bagi pihak Penyelaras DUN Permaisuri, kami akan cuba menyelesaikan permasalahan dengan sewajarnya," ujarnya.

Setiap peserta menerima sumbangan barangan keperluan harian.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: