Tuesday, 4 September 2018

1 Juta Bakal Ke Tasik Kenyir

SHARE
Ustaz Ariffin Deraman berucap dalam majlis perasmian penutup tersebut. Foto - Syaiful Mustafa
Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU - Kerajaan mensasarkan seramai kira-kira satu juta pelancong akan berkunjung ke Tasik Kenyir pada akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, data statistik pelancong ke Tasik Kenyir menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Kehadiran pelancong terus meningkat dan kita jangka pada tahun ini akan melepasi angka yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Festival Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, kelmarin (2 September).

Festival tersebut melabuhkan tirainya pada hari Ahad, 2 September setelah berlangsung selama 4 hari bermula dari 30 September.

Menurut Ustaz Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, kehadiran pelancong yang ada di Tasik Kenyir adalah paling ramai, disusuli oleh Taman Tamadun Islam dan lain-lain.

"Kerajaan Negeri Terengganu telah mengeluarkan peruntukan yang besar bagi melaksanakan pembangunan di Tasik Kenyir untuk melengkapkan kemudahan dan tarikan pengunjung ke sini.

"Kita harus berbangga dengan kelebihan yang Allah berikan di bumi Terengganu ini yang mempunyai pelbagai keindahan alam seperti pesisir pantai, air terjun, pulau, tasik, hutan dan sebagainya.

"Kita juga harus menghargai dan menjaga kelestariannya agar ia dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.

"Kerajaan Negeri Terengganu akan meneruskan projek yang dapat membawa manfaat kepada industri pelancongan di sini.

"Pusat Perniagaan Kenyir Trade Center yang dijangka akan siap pada tahun hadapan akan menyemarakkan lagi perniagaan bebas cukai dengan kompleks yang lebih luas, kemudahan yang baik serta barangan yang lebih banyak dan pelbagai," ujarnya.

Beliau berharap supaya Festival Tasik Kenyir 2018 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam membuka ruang yang seluas-luasnya untuk para pengunjung mengenali Tasik Kenyir.

"Saya juga berharap agar penduduk tempatan mengambil bahagian dalam pelbagai bidang yang ada untuk menjayakan hasrat kerajaan agar industri pelancongan ini dapat berkembang pesat di samping dapat menjana pendapatan rakyat Terengganu dan sekaligus meningkatkan ekonomi Kerajaan Negeri Terengganu.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, ADUN Manir, Ustaz Hilmi Harun dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: