Tuesday, 28 August 2018

Zakiah, Pengerusi MPKK Wanita Pertama Daerah Dungun

SHARE
Zakiah Alias.
DUNGUN - Zakiah Alias @ Mohd, 51, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Taman Indah, Bukit Besi baru-baru ini menjadikan beliau sebagai pengerusi wanita pertama dan tunggal di Daerah Dungun.

Ibu kepada sepuluh orang anak ini telah bergiat lebih 30 tahun dalam arena politik dan menganggap pelantikan itu sebagai peluang untuk memartabatkan golongan wanita di mata masyarakat.

"Amanah ini merupakan ruang untuk saya mengetengahkan keupayaan wanita dalam menerajui satu-satu kawasan.

"Tidak dinafikan, sebagai pemimpin wanita, kita juga pasti menjadi rujukan dalam isu-isu yang melibatkan kaum wanita dalam masyarakat.

"Secara tidak langsung, keupayaan dan kebajikan wanita sebagai penggerak masyarakat akan mula mendapat perhatian dari pelbagai pihak," katanya yang merupakan Ketua Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Berpengalaman selama 12 dalam perusahaan kedai kek dan roti, Zakiah berhasrat mempertingkat ekonomi kaum ibu dengan pendedahan pelbagai sektor oleh agensi-agensi berkaitan.

"Kefahaman agama dan ekonomi penting terutama bagi kaum ibu dalam membina generasi yang cemerlang.

"MPKK Kampung Taman Indah telah mula bergerak dengan bantuan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan beberapa aktiviti telah mula dijalankan.

"Pada peringkat ini, kami ingin membina keharmonian dalam kampung bagi membolehkan  kita memiliki matlamat yang sama dalam membina kemajuan kampung ini," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: