Wednesday, 1 August 2018

UPDI, i-MiTS Bantu Perkasa Kerajaan Negeri

SHARE

Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang menjadi antara agensi penggerak utama pentadbiran negeri menerusi medium komunikasi diperkasakan dengan pelantikan kakitangan baharu bermula hari ini.

Pengarah UPDI, Mohd Soud Said berkata, pertambahan 46 kakitangan di agensi itu bakal melancarkan gerak kerja yang sudah dirancang secepat dan sebaik mungkin, menepati kehendak pucuk pimpinan.

“Seramai 24 orang untuk UPDI, telah mengangkat sumpah menerima jawatan sebentar tadi dan baki seramai 40 orang lagi akan masuk pada 15 Ogos ini.

"Antara perancangan terdekat, pihak kami akan mengadakan program dialog dengan MB dan Exco di semua lapan daerah bagi memberikan penerangan secara langsung kepada rakyat berkaitan dengan perancangan dan hasil yang telah kerajaan lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Jawatan kakitangan kontrak baharu di Dewan Syarahan Tingkat Dua, Wisma Darul Iman, hari ini.


Majlis mengangkat sumpah yang diketuai oleh Ukashah Hassan itu, disempurnakan di hadapan Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia), Marzuki Endut.

Bagi Pengarah i-MiTS, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, pula berkata dengan pengambilan baharu ini, mereka ini akan membantu memudahkan kerja-kerja khususnya dalam menjanakan kekuatan kerajaan supaya menepati motto `Maju, Berkat, Sejahtera'.

“Saya menaruh keyakinan sepenuhnya semua yang baharu menandatangani surat tawaran jawatan itu adalah yang terbaik yang akan memberikan komitmen yang terbaik kepada kerajaan negeri,"ujarnya lagi.

Menurut Kamaruzzaman, i-MiTS adalah diasaskan kepada modal insan sekali gus diharap dapat memainkan peranan untuk menggarapkan jiwa manusia tersebut supaya menjadi manusia yang tepat mengikut al-Quran dan Hadis.

Terdahulu, Marzuki memulakan majlis dengan memberikan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas berkenaan tugas sebagai seorang penjawat awam.

Beliau menekankan setiap kakitangan perlu menjaga disiplin agar tidak mencemarkan nama baik kerajaan negeri dan juga mengingatkan kepada hukuman yang bakal dihadapi jika didapati bersalah melakukan jenayah.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: