Sunday, 19 August 2018

Tubuh Jawatankuasa Patenkan Produk SEM

SHARE
Maliaman(tengah)ketika merasmikan Pesta " Schoolwide Enrichment Model" bertempat di Terengganu Trade Centre (TTC), semalam.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mencadangkan satu jawatankuasa  diwujudkan bagi membolehkan hasil ciptaan pelajar dalam Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) dipaten dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, ia perlu diletakkan di bawah produk yang terpelihara supaya dapat membantu prototaip dan idea pelajar daripada dicuri oleh pihak lain.

"Sehingga kini, terdapat 350 produk inovasi yang dihasilkan sepanjang hampir 10 tahun SEM dilaksanakan dan produk ciptaan pelajar yang diangkat terbaik dalam pertandingan itu tidak harus disia-siakan begitu sahaja.

"Prototaip yang dihasilkan oleh pelajar akan dihimpunkan bagi membuat penyelidikan dan inovasi supaya dapat memberikan manfaat kepada pelajar dan kerajaan negeri kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Perasmian Pesta "Schoolwide Enrichment Model" bertempat di Terengganu Trade Centre (TTC), kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Matsor Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa SEM 2018, Mazlan Che Wil.

Beliau turut mencadangkan bagi membuka Pesta SEM tahun hadapan dalam kalangan sekolah harian  selain  sekolah elit, Sekolah Imtiaz, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah bantuan kerajaan.

Pesta SEM kali ini disertai 25 buah sekolah dengan Anugerah SEM Terbaik dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin.

Manakala Kategori inovasi terbaik diraih oleh Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu (YT), SMK Padang Midin, SMK Sultan Sulaiman, SMK Bukit Sawa,  dan SMA Khairiah. SMK Ajil, SMK Bukit Sawa.

Sementara itu, SMK Sultan Sulaiman meraih kemenangan berganda apabila dipilih sebagai penyampai terbaik.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: