Wednesday, 1 August 2018

Terengganu Tetap Mahu Royalti Minyak Lima Peratus Daripada Hasil Pengeluaran

SHARE

Kerajaan Terengganu tetap dengan pendirian supaya agihan royalti minyak ke negeri ini diberikan sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyaluran royalti minyak itu haruslah ditunaikan berdasarkan apa yang telah dipersetujui.

“Kerajaan negeri tetap konsisten dengan pendirian bahawa penyaluran royalti minyak kepada negeri ini adalah sebanyak lima peratus daripada pengeluaran sepertimana perjanjian.

“Kalau ada sebarang usaha untuk mengkaji samada bagi memenuhi keperluan manifesto yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan, itu boleh dibuat oleh mereka (Pakatan Harapan) sebagai sebuah kerajaan di peringkat pusat dan tempoh masa untuk tujuan itu terpulang kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas isu tuntutan royalti Negeri Terengganu selepas menyempurnakan Majlis Pelantikan Bapa Angkat Bagi Setiap Acara Sukan SUKMA 2018 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, negeri-negeri pengeluar minyak lain termasuk Sabah, Sarawak dan Kelantan turut dengan pendirian sama yang menuntut agihan royalti minyak dengan jumlah yang sama daripada kerajaan pusat.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: