Wednesday, 1 August 2018

Terengganu Tekad Rampas Kembali Juara Keseluruhan Sukma 2018

SHARE
Ahmad Samsuri menyerahkan surat perlantikan kepada ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang merupakan bapa angkat bagi acara olahraga pada Majlis Pelantikan Bapa Angkat Bagi Setiap Acara Sukan SUKMA 2018 di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Terengganu bertekad untuk merampas semula kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan diadakan di Perak dari 12 hingga 22 September ini selepas kali terakhir meraih kejayaan sejak 2008 hingga 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dengan sasaran 69 pingat emas kontinjen Terengganu yang diwakili 555 atlet optimis mampu merampas kembali gelaran juara keseluruhan dimana sasaran pingat emas kali ini diharap dapat dijelmakan menerusi acara berbasikal, judo dan memanah.

“Kerajaan negeri sehingga kini telah membelanjakan sebanyak RM8 juta sebagai persediaan menghadapi SUKMA kali ini,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Pelantikan Bapa Angkat Bagi Setiap Acara Sukan SUKMA 2018 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, pelantikan bapa angkat dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan ketua jabatan itu diharap memberi kesan positif kepada pencapaian cemerlang atlet yang bertanding pada Sukma edisi kali ini.

Katanya, perlantikan bapa angkat juga bertujuan memastikan kelancaran seluruh aktiviti dan memberi suntikan semangat serta menjaga kebajikan anak buah masing-masing.

Sebagai rekod, Terengganu muncul juara keseluruhan buat julung kali ketika menjadi tuan rumah temasya Sukma 2008 apabila meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Lebih manis, Terengganu mencipta rekod apabila muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut pada temasya Sukma 2012 di Pahang.

Ketika itu, kontinjen Terengganu dinobatkan selaku juara selepas berjaya membawa pulang 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: