Friday, 3 August 2018

Tengku Hassan Dilantik Pengerusi Golden Pharos Berhad

SHARE

Golden Pharos Berhad mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar yang baru dilantik sebagai Pengerusi Golden Pharos Berhad mulai 1 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, lantikan yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia kelmarin adalah bagi menggantikan Dato’ Muhammad Pehimi Yusof yang memegang jawatan berkenaan sejak 1 Julai 2016.

“Seramai enam orang ahli lembaga pengarah baharu telah dilantik berkuatkuasa pada 1 Ogos 2018 bagi menggantikan enam ahli lembaga pengarah yang meletakkan jawatan pada tarikh yang sama.

“Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah halatuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan dalam Bursa Malaysia semalam turut mengumumkan bahawa hanya seorang sahaja ahli lembaga pengarah lama yang dikekalkan iaitu Dato’ A. Rahman Yahya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Nadza Abdul berkata lagi ahli lembaga pengarah yang baharu terdiri daripada golongan professional dan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan urusan balak dan kayu-kayan dalam negeri serta negara.

“Saya turut mengharapkan agar halatuju syarikat dapat dibimbing oleh pengalaman Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar yang luas dalam syarikat GLC serta perkhidmatan awam,” katanya.

Tambah beliau, rombakan ahli lembaga pengarah syarikat Golden Pharos Berhad ini juga merupakan salah satu daripada penstrukturan semula kerajaan negeri, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Muhammad Pehimi Yusof serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: