Thursday, 2 August 2018

Sultan Mizan Mahu KTS Jadi Jambatan Penghubung Rakyat Dan Komuniti

SHARE
Sultan Mizan berkenan berangkat melawat pesakit KTS selepas menyempurnakan majlis perasmian hospital itu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Burok, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) menjadi jambatan menghubungkan rakyat dan komuniti bagi membentuk tahap kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Terengganu khususnya dan Malaysian amnya.

Baginda bertitah, dengan wujudnya hospital pakar yang serba lengkap itu, rakyat memiliki pilihan untuk penjagaan kesihatan pakar yang lebih cekap dan berkualiti tinggi.

“Beta dimaklumkan bahawa TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman (KMI) menawarkan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan yang memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta dibawah TDM Berhad.

“Selain KTS, TDM Berhad memiliki tiga buah lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Taman Desa Medical Centre di Lembah Kelang.

“Hospital-hospital yang dimiliki oleh KMI ini membuktikan pengaruh dan peranan besar mereka dalam bidang penjagaan kesihatan di negara ini,” titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Kuala Terengganu Specialist Hospital, Jalan Sultan Mahmud Batu Burok, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda-anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya dan isteri To’ Puan Kamsiah Dollah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.


Dalam majlis tersebut, baginda turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian dan melancarkan logo baru KMI yang merupakan anak syarikat TDM Berhad.

Titah baginda, bidang penjagaan kesihatan pada masa kini perlu selari dengan arus pemodenan dan dilihat semakin penting terutamanya dengan peningkatan kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

Baginda yakin, KMI mampu menyediakan segala kemudahan penjagaan kesihatan bermutu dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang membolehkan rakyat memperoleh manfaat daripadanya.

“Beta amat berharap agar penjagaan kesihatan bagi rakyat Terengganu khususnya dapat menjadi bertambah baik dan sempurna memandangkan KTS selama ini banyak membantu masyarakat terutamanya dalam bidang kardiologi dan obstetrik,” titah baginda.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: