Monday, 27 August 2018

SUKMA XIX: Tunggu Pengumuman Penting MB, 5 September ini

SHARE
Ustaz Wan Sukairi- Foto Tengku Syamim

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan membuat pengumuman penting berhubung dengan kemajuan terkini atlet Terengganu ke Sukan Malaysia ke 19 (SUKMA XIX) di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, 5 September ini.

Pengumuman itu akan dibuat di majlis khas yang dianjurkan kerajaan negeri bagi meraikan para atlet SUKMA XIX yang akan berlepas menyertai sukan tersebut di Negeri Perak.

Dr Ahmad Samsuri akan menyerahkan bendera kepada 555 atlet negeri di majlis yang sama sebagai simbolik dan menanam semangat untuk berjuang merampas kembali kejuaraan keseluruhan kali kelima dalam sukan berkenaan yang akan berlangsung pada 12 hingga 22 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah membuat kenyataan tersebut di Sidang Media di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, atlet negeri berada ditahap terbaik dan menyertai latihan agresif selama dua tahun untuk mencapai kejayaan tersebut.

Menurut beliau 10 acara sukan menjadi sasaran emas Terengganu termasuk acara berbasikal, judo, angkat berat, memanah dan perahu layar.

"Kita (Terengganu) mensasarkan mendapat emas dalam sukan berbasikal, judo, angkat berat, memanah dan perahu layar serta kita menjangkakan mendapat lebih dari 14 pingat emas dalam acara berbasikal," katanya.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Derwan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata kontinjen negeri Terengganu meletakkan sasaran 69 pingat emas dalam sukan tersebut.

Sementara itu di Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang 100 Hari Sukma XIX Perak di Kuala Nerus, baru-baru ini, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Ibni Amin Busu, dilaporkan sebagai berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan penyusunan serta persiapan rapi dilakukan pihaknya sejak dua tahun lalu.

Antara sukan yang menjadi perhatian untuk meraih pingat emas buat Terengganu juga termasuk taekwondo, silat dan olahraga.

Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh atlet negeri itu yang dalam latihan intensif fasa terakhir juga telah mempamerkan perkembangan positif ke arah meraih kejayaan di Perak.

"Acara-acara sukan lain juga ada diletakkan dalam senarai sasaran emas dan kami yakin jumlah 69 emas boleh dicapai.

"Berbanding edisi lalu di Sarawak, kontinjen Terengganu  tahun ini akan mempertaruhkan 35 peratus muka baru," kata Encik Ibni Amin.

SHARE

Author: verified_user


0 komen: