Sunday, 5 August 2018

SUKMA XIX: Terengganu Hasrat Rampas Kembali Kejuaraan

SHARE



Oleh Suhaimi Taib

Kerajaan Terengganu berhasrat untuk merampas kembali kejuaraan dengan misi ‘Win Back Mission 2018’ dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke XIX di Perak bermula 12 hingga 22 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan meletakkan  69 pingat emas sebagai matlamat pencapaian untuk merampas kembali kejuaraan sukan berkenaan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini.

Katanya, Terengganu pernah muncul juara keseluruhan sebanyak empat kali berturut-turut dari tahun 2008 hingga 2012.

Pada kejohanan bagi edisi ke-18 di Sarawak dua tahun lalu, Terengganu menduduki tempat ketiga di belakang Selangor dan Sarawak selepas memperoleh 47 pingat emas, 42 (perak) serta 44 (gangsa).


Menurut beliau, sukan yang menjadi tumpuan sebagai target pingat emas ialah lumba basikal, judo dan memanah.


Katanya, pencapaian  dalam sukan lumba basikal sebelum ini  ialah Mohammad Azizul Hasni Awang, merupakan pelumba yang kini menduduki Ranking Pertama di Dunia bagi acara Keirin.

Azizul Hasni terkenal selepas memenangi kejuaraan lumba basikal dunia di Melbourne Australia pada Januari 2009 serta pingat emas acara keirin dan pecut 200m Kejohanan Trek Asia pada April 2008.


Beliau telah dianugerahkan  Olahragawan Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Semetara pencapaian terbaharu sukan judo pula ialah sebanyak 15 pingat emas , enam pingat perak dan 14 pingat gangsa berjaya diraih oleh 32 atlet   Persatuan Judo Negeri Terengganu (TEJA)  dalam Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2018 Ke-23 yang telah berlansung di Universiti Putra Malaysia Serdang Selangor, pada 7 dan 8  April lalu.


Atas kejayaan itu, TEJA menerima insentif kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM26,200.00 keseluruhannya.


Menurut laporan Portal Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Farah Aqilah Azlan merupakan atlet yang menerima ganjaran tertinggi sebanyak RM1,500.00 setelah berjaya merangkul satu pingat emas bagi acara 52kg ke atas dan satu pingat gangsa bagi acara Judo Kata (Uke).


Pada 1 Ogos lalu Menteri Besar Terengganu Dr. Samsuri Mokhtar telah melantik dan menyerahkan watikah perlantikan kepada Bapa Angkat untuk  29 Kontinjen SUKMA di Perkarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Mereka termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Haji Alias Razak (Kontinjen Berbasikal), Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato’ Tengku Hassan Omar (Kontinjen Badminton), Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Dr. Haji Mamad Puteh (Kontinjen Hoki).


Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Haji Mohd. Nurkhuzaini Abdul Rahman (Kontinjen Angkat Berat), Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri 2, Abdul Razak Ibrahim (Kontinjen Karate), Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim (Kontinjen Bola Sepak).


Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Zainal Abidin Mohamed (Kontinjen Akuatik), Pegawai Daerah Setiu, Haji Rosdi Awang (Kontinjen Gimnastik), Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim (Kontinjen Lawn Bowls), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah (Kontinjen Memanah).


Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Haji Satiful Bahari Mamat (Kontinjen Menembak), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Haji Hishamudin Abdul Karim (Kontinjen Olahraga), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Haji Ridzuan Hashim (Kontinjen Pencak Silat).


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Haji Ahmad Shah Muhamed (Kontinjen Perayu Layar), Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairudin Aman Razali (Kontinjen Sepak Takraw), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi (Kontinjen Skuasy), Ahli Parlimen Setiu, Haji Shaharizukirnain Abdul Kadir (Kontinjen Taekwando).


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman (KontinjenTenpin Bowling), Timbalan Pengerusi  Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong (Kontinjen Wushu), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awan, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili (Kontinjen Bola Baling).


Pengarah Pelancongan Negeri, Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak (Kontinjen Bola Jaring), Pegawai Daerah Besut, Haji Shahidan Embok (Kontinjen Bola Keranjang), Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Haji Hanafiah Mat (Kontinjen Golf), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Haji Hilmi Harun (Kontinjen Judo).


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Haji Maliaman Kassim (Kontinjen Kriket), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Haji Alias Harun (Kontinjen Muay Thai), Ahli Parlimen Dungun, Haji Wan Hassan Mohd. Ramli (Kontinjen Petanque).


Timbalan Pengerusi Jawantankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Haji Wan Hapandi Wan Nik (Kontinjen Ragbi) dan  Ahli Parlimen Kemaman, Haji Che Alias Hamid (Kontinjen Tinju).


Sementara itu, Ustaz Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk kejayaan cemerlang dalam sukan berkenaan tahun ini.


Atlet-atlet Terengganu dilatih oleh seramai 133 orang jurulatih termasuk 10 orang jurulatih luar negara membabitkan sukan akuatik, badminton, bola jaring, hoki, kriket dan sepak takraw.


Di samping itu mereka juga dilatih oleh 53 jurulatih sambilan dan 70 orang jurulatih sepenuh masa bagi memantapkan prestasi dan keupayaan mencapai kemenangan dalam sukan berprestij itu.


“Sebanyak 217 program latihan intensif telah diadakan termasuk 41 daripadanya diadakan di luar negara.


“Manakala kem jati diri dan ‘team building’ berjumlah 28 siri kem,” jelasnya.


Sebanyak 472 kejohanan telah disertai sejak awal penyediaan kontinjen iaitu sejak  bulan November tahun 2016 meliputi 84 kejohanan yang diadakan di luar negara.


Tinggal lagi usaha yang gigih perlu digembelengkan antara pelatih dan atlet dengan dokongan bapa-bapa angkat yang dilantik.


Negeri Terengganu berpeluang cerah untuk menjadi juara berdasarkan perkembangan latihan dan pencapaian semasa kontinjen.


Menurut Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Latihan Kotinjen telah memasuki fasa akhir.


Seluruh jentera telah digerakkan secara agresif supaya kontinjen negeri bersedia sepenuhnya untuk merealisasikan misi tersebut dengan membawa piala kejuaraan pada 22 September nanti.


Ustaz Wan Sukairi dan Timbalannya Haji Hishamudin bertemu sendiri dengan atlet-atlet SUKMA bagi memberi sedikit sebanyak  suntikan semangat kepada mereka.


Kontinjen negeri akan menyertai kesemua  26 jenis sukan yang dipertandingkan.


“Bagaimanapun kita hanya menyertai sebanyak 85 peratus dari keseluruhan acara yang dipertandingkan,” jelas Ustaz Wan Sukairi.


Kontinjen Terengganu tidak menyertai beberapa acara dalam sukan akuatik, gimrama, badminton, karate, pelayaran, olahraga, taekwando dan wushu.


“Namun 85 peratus merupakan peratusan tertinggi dalam sejarah penyertaan kontinjen Terengganu setakat ini,” jelas beliau lagi.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: