Sunday, 19 August 2018

Sukan Wadah Penyatuan Masyarakat

SHARE
Wan Hapandi (tiga dari kiri) ketika menyampaikan ucapan alu -aluan pada pertandingan tersebut.
DUNGUN - Kerajaan Negeri Terengganu menggalakkan agar rakyat dapat menceburi bidang sukan kerana ianya dilihat sebagai satu wadah untuk menyatupadukan keharmonian dalam kalangan penduduk di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Hassan berkata, ianya dapat dilihat dengan kehadiran masyarakat dari pelbagai kaum dan umur berkumpul sekiranya satu pertandingan sukan diadakan di peringkat negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, semua lapisan umur dilihat bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka dan keharmonian sebegini sangat diharapkan demi menjaga keamanan di negara ini.

"Di negara lain yang bergolak, kita lihat masyarakatnya hidup dalam kesedihan dan ketakutan disebabkan oleh sikap individu atau kumpulan yang hanya mementingkan agenda peribadi mereka sehingga sanggup mengorbankan keharmonian masyarakat mereka sendiri," katanya.

Wan Hapandi ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lembah, di sini, kelmarin (17 Ogos).

Dalam pertandingan tersebut, sebanyak 12 buah pasukan telah mendaftar untuk bertanding dalam kejohanan tersebut.

Wan Hapandi melontar bola takraw sebagai gimik perasmian kejohanan tersebut.
Menurut Wan Hapandi, pihaknya memuji usaha penganjuran yang telah diadakan dalam mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak muda dalam sukan sepak takraw.

"Negeri Terengganu dikenali sebagai 'kilang' melahirkan bakat baru dalam sepak takraw di mana ramai pemain sepak takraw telah mewakili negeri dan negara dalam sukan ini," katanya.

Tambah Wan Hapandi, kerajaan negeri sentiasa memberikan galakan dan sokongan terhadap setiap aktiviti pembangunan sukan yang dilakukan agar dapat melahirkan atlet yang dapat membawa cabaran negara ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.

"Kita sudah ada wakil dari negeri ini yang sudah mengharumkan nama negara dalam sukan berbasikal yang banyak merangkul kejayaan di peringkat antarabangsa dan kita harapkan lebih ramai lagi dari negeri ini yang dapat mengharumkan nama negara satu hari nanti," katanya.

Menurut Wan Hapandi, aktiviti seperti ini amat digalakkan kerana ianya dapat mengisi masa lapang anak-anak muda dengan menyertai aktiviti riadah dan sekaligus dapat mengelakkan mereka dari melakukan sebarang aktiviti-aktiviti negatif.

“Jikalau dilihat, hari ini terlalu banyak masalah sosial yang melibatkan  anak-anak muda dan kita berharap dengan aktiviti sebegini akan dapat membendung budaya yang boleh merosakkan akhlak dan masa depan merek," katanya.

Tambah Wan Hapandi,  kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan di setiap dun bagi penganjuran sebarang aktiviti sukan di setiap kawasan mereka .
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: