Friday, 24 August 2018

Sinar Harapan Menjelang Tua

SHARE
Haji Ghazali Sulaiman menyapa mesra salah seorang penghuni Rumah Ehsan
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Waktu meniti usia tua, tiada yang diharapkan melainkan sinar harapan agar masih ada sekelumit kebahagiaan sebelum mata tertutup.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, tujuan lawatan adalah bagi memberi semangat bagi warga Rumah Ehsan.


"Rumah ini bukan semata-mata berfungsi sebagai rumah jagaan orang tua.

"Tetapi ianya juga sebagai rumah pesakit melarat yang tidak mempunyai pewaris," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan ke Rumah Ehsan, Bukit Besi, baru-baru ini (21 Ogos).


"Masih ada masyarakat yang prihatin terhadap nasib mereka," jelasnya.

Menurutnya, mereka yang sakit melarat akan dirawat sehingga ke akhir hayat.

"Mereka akan dijaga dengan lebih terperinci dan mendapat rawatan rapi.

"Kebajikan mereka akan diberi perhatian dan dijaga penuh kasih sayang oleh doktor-doktor dan kakitangan di sini," ucapnya.

Menurutnya, sesiapa yang hadir menziarahi rumah ini pasti akan merasa kagum kerana ada di antara penghuni itu menghabiskan waktunya dengan menghasilkan kraftangan, rantai tasbih, menjahit bantal dan sebagainya.

"Dalam keadaan sakit sebegitu, mereka masih mampu membuat hasil tangan yang kreatif.

"Walaupun dalam keadaan lumpuh sebelah, ada yang masih mampu melukis," ujarnya.

Bahan-bahan yang digunakan itu disediakan oleh kakitangan. Hasil tangan mereka itu selalu dibeli oleh pelawat.

"Rumah ini sentiasa relevan dengan fungsinya agar penghuninya dijaga sepanjang masa, kebajikan pekerja dijaga dan program pengurusan stress adalah perlu.

"Selain itu, pekerja juga perlu disuntik motivasi kerana pekerjaan di Rumah Ehsan itu adalah kerja yang mulia dan mendapat pahala," tambahnya.

Kunjungan ke Rumah Ehsan akan dijadikan aktiviti berkala dan bagi memastikan setiap keperluan Rumah Ehsan akan dapat diusahakan dengan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan Sosial, Rosdi Hitam berkata, warga Rumah Ehsan itu disediakan kuliah agar jiwa mereka terisi dengan agama.

"Sudah lumrah, ada kalanya mereka akan diselubungi kesedihan.

"Justeru, pengisian agama amat diperlukan.

"Cuma sekarang tenaga pengajar yang ada tidak sepenuh masa, hanya datang sebulan sekali bagi mengajar," jelasnya.

Menurutnya, menjaga warga Rumah Ehsan ini menuntut kesabaran yang tinggi kerana akan berhadapan dengan pelbagai kerenah.

Tambahnya lagi, Rumah Ehsan itu selalu dikunjungi Pelajar Politeknik bagi membaiki katil-katil penghuni.

"Kita memerlukan katil yang baru kerana yang lama sudah rosak.

"Buat masa ini kita terpaksa memakai khidmat pelajar politeknik Dungun bagi membaik pulih katil-katil penghuni," ujarnya.

Turut hadir, wakil Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi.

Timbalan Pengetua Rumah Ehsan, Puan Thani Ali berterima kasih dan mengharapkan agar  kunjungan itu akan menjalinkan kerjasama yang bermanfaat pada masa akan datang.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: