Wednesday, 1 August 2018

Semangat Teruskan Misi Bantu Gaza Tidak Luntur - Afandi

SHARE

Ketibaan Mohd Afandi disambut oleh kaum keluarga, sahabat handai dan kakitangan UniSZA dengan iringan doa selamat

Walaupun ditawan tentera Israel selama 36 jam, situasi itu tidak mematahkan semangat aktivis tunggal dari Malaysia yang menyertai misi 'Right to A Just Future for Palestine' ke Gaza, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh untuk terus menyertai misi kemanusiaan.

Mohd Afandi berkata, ini merupakan misi  keempat yang disertainya dan kali pertama melalui jalan laut malah terpaksa berhadapan lanun Laut Mediterranean iaitu tentera Israel walaupun masuk secara aman.

"Penahanan kali ini tidak menyekat saya untuk terus membantu Palestin dan ini bukannya satu sahaja medan untuk saya berjuang sebab bagi saya banyak lagi cara untuk teruskan bantuan kemanusiaan ini dan yang pasti kami semua tidak melakukan kesalahan mengikut undang-undang.

"Ini disokong dengan penglibatan rakan-rakan daripada pelbagai negara bukan islam yang turut berjuang demi kemanusiaan terhadap kekejaman Israel terhadap Palestin walaupun ketika berada selama 36 jam di bawah tahanan Israel, saya cuma teringat keselamatan ibu yang sedang sakit sahaja," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

Suasana hiba ketika menyambut ketibaan Mohd Afandi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang tadi

Hampir 100 sahabat handai termasuk kaum keluarga hadir menyambut ketibaannya dari Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang tadi.

Tambah beliau lagi, semangat yang ditunjukkan oleh kapten kapal warganegara Norway ketika kapal Al-Awda yang dinaikinya bersama beberapa sukarelawan lain ditawan dari setiap sudut sudah hampir ke perairan Gaza iaitu sekitar 49 batu nautika dari perairan Gaza juga memberinya kekuatan untuk bertahan.

"Walaupun sudah dikepung, kapten kapal warganegara Norway berkeras dan tetap mahu meneruskan perjalanan sehingga 40 batu nautika dari perairan berkenaan dan yang menakjubkan saya, dia hanya berusia 28 tahun dan bukan beragama Islam demi meneruskan misi kemanusiaan Gaza ini,"ujarnya lagi.

Mohd Afandi merupakan Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA berlepas ke Palermo, Itali bagi menyertai siri terakhir flotila ke Gaza bersama aktivis daripada pelbagai negara.

Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.

Menurut laporan Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, pihaknya terputus hubungan dengan wakil tunggal sukarelawan Malaysia itu selepas kapal yang dinaikinya dihampiri empat buah kapal perang Israel pada jam 7.15 di 53 batu nautika (kira-kira 110.5 kilometer) dari pesisir Pantai Gaza.

Aktivis lain di atas kapal ahli politik Norway Mikkel Gruner, doktor pakar ortopedik United Kingdom, Dr Ang Swee Chai, aktivis kemanusiaan warganegara Israel, Zohar Chamberlain Regev serta bekas atlet Norway, Prof Gerd Von der Lippe, bagi menghantar 116 kotak bekalan ubatan bernilai hampir Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Pelayaran 'Right to a Just Future for Palestine' bermula pada 22 Mei lalu di Copenhagen, Denmark dan telah melalui 28 pelabuhan di pelbagai lokasi serta peserta bersilih ganti menaiki kapal di lokasi berbeza dan telah melalui 5,794 batu nautika sejak mula pelayaran.

Kapal Al-Awda serta dua buah kapal kecil, Huriyyah dan Falastine, meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily Itali untuk meneruskan misi Right to A Just Future for Palestine kira-kira jam 4 petang (waktu Malaysia) pada 22  Julai merupakan kapal nelayan dari Norway yang telah diubah suai dan akan diserahkan kepada nelayan di Gaza.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: