Monday, 27 August 2018

'Seks Songsang' LGBT, Atasi Dengan Pendidikan Agama

SHARE
Dr Haji Alias- Foto Harish Fadzillah
KUALA TERENGGANU - Tidak cukup sekadar penguatkuasaan undang-undang  bagi mengatasi masalah aktiviti 'Seks Songsang' bahkan ia perlu digabungjalinkan dengan pendidikan agama dan pemantauan dari ibu bapa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Haji Alias Razak berkata, ibu bapa perlu memberi pendedahan kepada anak remaja mereka tentang bahayanya amalam seks bebas.

Katanya, di peringkat jabatan kesihatan juga dibuat kempen penerangan di sekolah-sekolah dan  agensi-agensi kerajaan tentang bahayanya jangkitan penyakit HIV/AIDS dan cara mengatasinya.

"Remaja diberi penjelasan tentang bagaimana bahayanya perbuatan seks songsang ini dari segi kesihatan.
"Dari segi agama satu bab tetapi ia bahaya dari segi kesihatan kerana penyakit ini belum ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan pengidapnya seperti biasa," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pantai Batu Burok di sini baru-baru ini.

Sementara itu Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar dilaporkan sebagai berkata, jabatannya memandang serius terhadap peningkatan kes daripada amalan seks bebas ini terutama daripada risiko homoseksual dan biseksual.

Katanya, berdasarkan rekod sejak 1988 hingga Jun lalu, 1,083 kes dikesan berpunca daripada risiko seksual.

“Jumlah itu daripada keseluruhan sebanyak 9,816 kes HIV yang didaftarkan di negeri ini dengan 84.9 peratus berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan di kalangan pengguna dadah.

“Namun begitu kes jangkitan HIV di kalangan pengguna dadah menerusi suntikan telah menunjukkan penurunan agak ketara.

“Jangkitan kes HIV akibat risiko seksual menunjukkan trend peningkatan, sebanyak 27.1 peratus kes HIV dilaporkan pada 2017 berbanding 20.1 peratus pada tahun 2010 dan 0.62 peratus pada 2005...ini cukup membimbangkan pihak kami,” kata Mohammad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Sihat Tanpa Aids 2018 ‘ Eksplorasi Menuju Sifar’ di Dataran Waterfront Kuala Berang, baru-baru ini.

Jelas beliau, melalui Majlis Aids Malaysia (MAC), mereka juga bergerak lebih agresif untuk memberi lebih kesedaran kepada orang ramai terutama pengamal homoseksual mengenai bahaya jangkitan HIV/AIDS dalam usaha mengawal wabak berkenaan daripada terus meningkat.

“Antara inisiatif ialah mendekati golongan ‘mak nyah’ atau pondan di negeri ini dengan memberikan kesedaran kepada mereka di samping anggota masyarakat yang lain agar mencegah aktiviti seks bebas.

“Mereka ini perlu menjauhi semua aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dan aktiviti seks luar tabi’e selain memperkasakan golongan ini untuk mengatakan tidak kepada seks luar nikah,” ujar Mohammad.


SHARE

Author: verified_user


0 komen: