Friday, 17 August 2018

Seks Bebas Antara Penyumbang Peningkatan HIV,AIDS

SHARE

Dr Mohammad Omar memasang bendera sebagai gimik pelepasan Kembara Sihat Tanpa Aids 2018 di Dataran Waterfront Kuala Berang


HULU TERENGGANU - Peningkatan kes HIV yang berpunca daripada amalan seks bebas berbanding kes jangkitan HIV di kalangan pengguna dadah suntikan semakin membimbangkan di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, jabatannya memandang serius peningkatan kes akibat amalan seks bebas ini terutama daripada risiko homoseksual dan biseksual.

Katanya, sebanyak 9,816 kes HIV didaftarkan di negeri ini daripada 1988 sehingga Jun 2018.

Manakala sebanyak 8,338 kes (84.9 peratus) berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan di kalangan pengguna dadah suntikan termasuk 1,083 kes (11 peratus) daripada risiko seksual.

"Namun begitu kes jangkitan HIV di kalangan Pengguna Dadah Suntikan telah menunjukkan trend penurunan sebanyak 44 kes(36.4 peratus) berbanding 102 kes( 61.8 peratus) pada 2015.

"Walaubagaimana pun, jangkitan kes HIV akibat risiko seksual menunjukkan trend peningkatan, sebanyak 27.1 peratus kes HIV dilaporkan pada 2017 berbanding 20.1 peratus pada 2010 dan 0.62 peratus pada 2005...ini cukup membimbangkan pihak kami,"kata Mohammad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Kembara Sihat Tanpa Aids 2018 ' Eksplorasi Menuju Sifar' di Dataran Waterfront Kuala Berang, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, melalui Majlis Aids Malaysia (MAC), mereka juga bergerak lebih agresif untuk memberi lebih kesedaran kepada orang ramai terutama pengamal homoseksual mengenai bahaya jangkitan HIV/AIDS dalam usaha mengawal wabak berkenaan daripada terus meningkat.

"Antara inisiatif yang diambil, kami mendekati golongan 'mak nyah' atau pondan di negeri ini dengan menyuntik satu kesedaran kepada pihak lain untuk melakukan perkara sama, seterusnya mencegah aktiviti seks bebas yang boleh menyumbang kepada peningkatan pesakit HIV/AIDS,"katanya lagi

Tambahnya lagi,  pihak jabatan cuba menangani masalah penularan kes ini melalui aktiviti kesedaran yang difokuskan kepada remaja dan golongan muda untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

"Mereka ini perlu menjauhi semua aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dan aktiviti seks luar tabii selain memperkasakan golongan ini untuk mengatakan tidak kepada seks luar nikah," kata  Mohammad.

Seramai 290 orang peserta terdiri dari anggota kesihatan bersama keluarga dengan 76  buah kenderaan menyertai kembara  yang membabitkan aktiviti   berbentuk pertandingan mencari harta karun dan kuiz pengetahuan asas HIV/AIDS.

Program kembara yang sudah berusia 23 tahun ini bermula di  Dataran  Waterfront  Kuala Berang, Hulu Terengganu dan akan tamat di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang selama dua hari satu malam.

Program yang bertemakan Eksplorasi Menuju Sifar  ini akan diisi dengan pengedaran risalah HIV/AIDS kepada masyarakat di tempat-tempat awam di sepanjang laluan eksplorasi serta ceramah dan pameran HIV/ AIDS kepada peserta dan keluarga di Bukit Tinggi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: