Friday, 24 August 2018

Satu Mayat Mangsa Lemas Ditemui

SHARE
Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah
KEMAMAN - Mayat  seorang daripada tiga mangsa yang lemas ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Teluk Kalong, Kemaman, telah ditemui pagi tadi. 

Mayat Shahir Aqil Shahrun, 19 , ditemui  pada jam 4.30 pagi tadi pada  jarak 500 meter dari lokasi  kejadian.

Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat mangsa dijumpai terdampar di pesisir pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat yang sedang melakukan operasi pencarian di sepanjang pesisir pantai tersebut.

"Mayat mangsa ditemui terdampar ketika operasi di sepanjang pantai dilakukan dan ketika sedang meronda, anggota penyelamat terlihat satu objek terdampar di pantai dan apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, ianya dikenal pasti merupakan salah seorang daripada tiga mangsa," katanya.

Menurut Mohamed Zulkhairul, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke khemah operasi  untuk proses pengecaman mayat oleh keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian.

Anggota Skuba dari JBPM sedang melakukan operasi penyelaman untuk mencari mangsa.
Mohamed Zulkhairul berkata ,operasi hari kedua bermula pada jam 7.00 pagi dengan melibatkan seramai 53 orang anggota dari pelbagai agensi dan operasi telah melibatkan kawasan pencarian seluas dua kilometer persegi dari lokasi kejadian.

"Kita turut melakukan operasi penyelaman oleh unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan penyelaman dilakukan di sekitar kawasan ketiga-tiganya dipercayai lemas namun tidak berjaya menemui mangsa.

"Kita juga turut mendapat bantuan daripada pihak Persatuan Nelayan di kawasan ini dalam usaha membantu mengesan mangsa dan keadaan ombak dan angin yang kencang menyukarkan sedikit operasi menyelamat," katanya.

Sehingga jam 3.00 petang tadi, dua lagi mayat mangsa masih gagal ditemui dan  operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. 
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: